rap

Semangat membara Adam Shahz

Oleh Amirul Haswendy Ashari.

PELAKON Adam Shahz, 37, mahu menjadi pencetus semangat kepada anak muda agar dapat menyemarakkan semangat kenegaraan dan kesukarelaan melalui penyertaan perbarisan sempena Hari Merdeka di Putrajaya pada 31 Ogos ini.

Adam berkata selepas latihan kawad kaki disertai 160 pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Wilayah Persekutuan di Ibu Pejabat APM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Jalan Padang Tembak, di sini, semalam.

"Dengan kehadiran anak seni seperti saya dan Pencetus Ummah (PU) Taha sedikit sebanyak dapatlah menyuntik semangat kepada mereka.

"Seperti anggota APM lain, kami berpanas dan bermandi peluh untuk sama-sama membentuk jati diri belia negara," katanya.

Adam yang juga Ikon Sukarelawan APM CDRET Ohhsem Network, berkata sekurang-kurangnya dengan menyertai perbarisan dapatlah rakan artis menunjukkan rasa cinta kepada negara.

Apatah lagi, ia sejajar dengan tema sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini iaitu Sayangi Malaysiaku.

Latihan kawad intensif itu diadakan pada hujung minggu sejak tiga minggu lalu.

Kemuncak latihan adalah mengumpulkan 400 anggota termasuk Pasukan Elit APM (SPIDER), pegawai tetap dan anggota APM seluruh Malaysia dengan pembabitan khas daripada Pegawai Bersekutu CDERT Ohhsem yang akan berkampung di Akademi Latihan APM Bangi, bermula 24 Ogos ini.

Pada 1 Ogos lalu, Adam menerima pentauliahan pegawai bersekutu APM Wilayah Persekutuan sebagai Leftenan Bersekutu (PA) pada Majlis Pemakaian Pangkat dan Penganugerahan Watikah Lantikan Pegawai Bersekutu (CDERT-Ohhsem Network) APM di Putrajaya.

Disiarkan pada: August 20, 2018 @ 12:55pm
d