rap

Kaer, Amylea takkan 'berpisah'

Oleh Norhayati Nordin

PENYANYI duo, Kaer Azami, 33, dan Amylea Azizan, 32, sepakat akan terus menjadi rakan duet untuk karier nyanyian mereka.

Pasangan yang popular dengan single Tak Pernah Hilang ini ditemui memberitahu sukar untuk mereka berganti rakan duet.

Amylea berkata dia sangat selesa berduet dengan Kaer dan tak terfikir untuk cuba bekerjasama dengan rakan duet baru.

"Terus-terang, jika Kaer sudah tak berminat nak berduet lagi, mungkin saya akan kembali nyanyi secara solo.

"Saya takkan dengan mudah mencari rakan duet baru kerana menyanyi secara duo perlukan keserasian vokal.

"Apapun, selagi peminat menyokong gandingan duet kami rasanya saya dan Kaer akan teruskan kerjasama ini," katanya.

Menurut Amylea, bukan mudah dia berada pada tahap sekarang kerana selepas 13 tahun baru bakat nyanyiannya menjadi perhatian ramai.

Bagi Kaer pula, dia juga mengakui selesa bekerjasama dengan Amylea kerana berpaksikan matlamat yang sama.

"Selagi peminat ingin kami tampil duet bersama, saya akan teruskan kerjasama kerana peluang tak datang selalu.

"Apatah lagi, kami berdua memang ambil masa yang lama untuk akhirnya bakat nyanyian dan lagu diterima baik pendengar.

"Malah, saya pun tidak mahu terburu-buru tampil dengan single solo kerana melihat pendengar kini sukakan gandingan duet kami," katanya.

Kaer yang pernah popular dengan single solo Izinku Pergi pada 2007 sebelum ini menetap di Indonesia kerana menguruskan perniagaan.

Namun, selepas single duet Tak Pernah Hilang bersama Amylea popular, Kaer kembali bersemangat untuk aktif mengatur semula karier nyanyiannya.

Sementara itu, Amylea pula agak aktif bekerja di belakang tabir menghasilkan single untuk penyanyi lain termasuk lagu OST drama.

Single Tak Pernah Hilang mendapat perhatian ramai selepas menjadi lagu tema drama Nur di TV3 pada Ramadan lalu.

Disiarkan pada: August 20, 2018 @ 11:13pm
d