rap

Farhan dapat 'baby girl' lagi

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENYANYI, Farhan selamat bersalin anak perempuan seberat 2.7 kilogram di hospital di Putrajaya, semalam.

Farhan, 34, atau nama sebenarnya Nur Farhan Azizan berkata, dia terpaksa bersalin secara pembedahan kerana tiada bukaan walaupun air ketuban sudah pecah.

“Kalau boleh saya nak bersalin normal dan sudah berusaha sehabis baik. Namun, nak buat macam mana bukan rezeki saya.

“Apabila doktor memaklumkan saya perlu melalui proses pembedahan memang gementar juga. Apa pun, saya ikut nasihat yang terbaik daripada doktor demi keselamatan bayi.

“Alhamdulillah, semuanya selamat. Saya menganggap ini adalah hadiah hari jadi saya, hari ini. Saya bersyukur dengan nikmat dan rezeki yang Allah berikan ini,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Farhan, meskipun itu kali kedua dia melalui proses pembedahan selepas melahirkan anak pertama, Souffea Zulaeqha yang kini berusia setahun enam bulan, Farhan tetap bersyukur kerana kehidupan rumah tangga diserikan dengan kehadiran cahaya mata.

“Selepas tiga tahun berkahwin baru saya dan suami dikurniakan cahaya mata. Alhamdulillah, sekarang bertambah lagi seorang. Tidak ada kata-kata yang mampu menggambarkan perasaan saya ketika ini selain rasa syukur.

“Walaupun ada yang berkata saya tidak merasai pengalaman bersalin sebenar kerana tidak bersalin normal, saya tetap bersyukur kerana segalanya dipermudahkan Allah SWT dan anak sihat.

“Apa yang penting, amanat Allah ini dijaga sebaiknya,” katanya.

Farhan berkata, dia dan suami, Ahmad Rashadan Suhaimi masih lagi memikirkan nama anak kedua mereka.

“Buat masa sekarang anak masih dalam pemantauan. Insya-Allah kalau semuanya okay, esok kami dijangka keluar. Terima kasih atas doa semua,” katanya.

Disiarkan pada: August 21, 2018 @ 10:41am
d