rap

Wardina tegur Aliff Syukri

Oleh Najiy Jefri

"SAYA tahu Datuk kaya. Saya rela tak kaya dari kaya tapi terpaksa buat benda begini. Nauzubillah," luah bekas pelakon dan personaliti TV, Wardina Safiyyah mengenai video tarian lagu terbaharu usahawan tempatan Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman berjudul Semalam Bobo Dimana yang disifatkan melampau dan amat meloyakan.

Wardina menerusi akaun Facebook miliknya berkata, dia memohon maaf kerana terpaksa bersuara kerana video terbabit dianggap tidak menghormati sambutan Aidiladha esok.

"Di hari-hari paling mulia bagi umat Islam, tersebarnya video begini. Maaf Datuk... saya sayangkan Datuk dan Datin sekeluarga kerana Allah. Ini sudah melampau. Terlalu bodoh, terlalu over dan amat meloyakan.

"Maafkan saya. Moga Datuk dapat refleksi diri dan cari cara memandaikan masyarakat kita bukan sebaliknya. Wallahualam.

"Mohon Datuk padam video IG bersama dua 'wanita' yang menggoyangkan dan menayangkan buah dada mereka. Menjijikkan," tulisnya.

Menurut Wardina, dia juga baru mengetahui mengenai status jantina dua wanita dalam video tarian itu.

"Ok saya baru tahu mereka bukan wanita!!! Maksud saya, saya memang pernah lihat benda bodoh seperti ini, tetapi saya fikir dia sudah melampaui batas," tulisnya lagi.

Sementara itu, Wardina ketika dihubungi berkata, dia berasa sedih dan terkejut melihat video yang dimuat naik usahawan itu dan meminta rakyat Malaysia tidak melakukan video cabaran lagu terbabit.

"Saya betul-betul terkejut dan sedih. Datuk tak perlu buat benda macam itu. Saya juga menyaran agar rakyat Malaysia supaya tidak buat 'challenge' lagu itu," katanya.

Terdahulu Aliff memuat naik video tarian kontroversi itu di Instagram miliknya dua hari lalu.

Lagu Semalam Bobo Dimana adalah nyanyian penyanyi dangdut kontroversi Indonesia, Lucinta Luna yang berkolaborasi dengan Aliff Syukri dan seorang lagi usahawan kosmetik, Nur Sajat Kamaruzzaman.

Video berdurasi 34 saat yang dimuat naik di Instagram Aliff Syukri dua hari lalu memaparkan, usahawan kosmetik itu bersama dengan Lucinta dan Sajat menyanyi sambil menari mengikut rentak lagu dangdut terbabit.

Namun tarian itu agak keterlaluan apabila Lucinta dan Sajat tampil berpakaian seksi sambil menggoyangkan buah dada mereka.

Disiarkan pada: August 21, 2018 @ 7:36pm
d