rap

'Peminat nak lagi'

Oleh Norhayati Nordin

Walaupun sudah bergelar suami, populariti pelakon dan penyanyi, Fattah Amin, 28, nyata tidak tergugat.

Apatah lagi, kebanyakan peminat begitu berharap gandingan lakonan Fattah bersama isteri, Fazura.

Ketika ditemui, pelakon drama Hero Seorang Cindrella ini berkata, peminat sentiasa meminta gandingan mereka bersama.

“Kalau ikutkan peminat, mereka memang sentiasa mahukan saya berlakon dengan Fazura. Walaupun kami sudah berlakon sama dalam telefilem Wanita Terindah, peminat tetap mahu lebih.

“Pada kami, untuk kerjasama pada masa akan datang semestinya terlebih dahulu menilai karya yang sesuai. Ini kerana kami mahu memastikan lakonan berkualiti berbanding kuantiti,” katanya.

Fattah berkata, selain berlakon peminat juga inginkan dia dan Fazura merakamkan single bersama. Ia adalah impak daripada single Cinderella nyanyian mereka yang menjadi lagu tema drama Hero Seorang Cindrella.

Berbicara juga mengenai kerjaya lakonannya, Fattah berkata, dia tetap aktif sebagai pelakon drama dan filem.

Katanya, dia terbabit dalam filem Mat Kilau dan tidak lama lagi akan ke lokasi penggambaran drama Isteri Untuk Disewa.

“Selain filem, tawaran berlakon drama diterima juga dan saya akan berlakon dengan Tiz Zaqyah dalam Isteri Untuk Disewa. Fokus saya pada lakonan tetap keutamaan dan terima kasih kepada semua peminat yang menyokong,” katanya.

Komited sebagai duta King Koil

Fattah kini turut dilantik sebagai duta jenama tilam dari Amerika Syarikat iaitu King Koil.

Fattah berkata, sebagai duta produk, dia sangat komited dengan tanggungjawab itu.

Pemilihan Fattah diakui berjaya menarik minat pelanggan Melayu untuk membeli jenama tilam berkualiti tinggi itu.

Dalam tempoh 10 bulan menjadi duta, jualan koleksi tilam eksklusif Fattah, King Koil Prince sangat meningkat.

Fattah berkata, dia gembira matlamat pihak King Koil untuk menarik lebih ramai pelanggan Melayu berjaya.

“Saya juga pengguna tilam King Koil sejak remaja. Terus terang, saya sangat selesa dengan ketebalan tilamnya. Tilam King Koil ini sangat baik untuk tulang belakang dan membuatkan tidur waktu malam lebih nyenyak,” katanya.

Sehubungan itu, untuk sebulan dianggarkan jualan King Koil Prince mencatat jumlah 1,500 unit di seluruh negara.

Pengurus Besar Kanan Jualan & Pemasaran King Koil Bedding (Malaysia) Sdn Bhd Cheng Khai Hin berkata, pihaknya berpuas hati dengan komitmen dan kerjasama daripada Fattah.

“Walaupun sudah berkahwin, imej bersih Fattah pada kaca mata peminatnya sangat membantu jualan tilam King Koil. Secara tidak langsung, objektif kami untuk menarik pelanggan Melayu berjaya jadi kenyataan,” katanya.

Cheng berkata, setakat ini Fattah juga tiada masalah untuk meluangkan masa menyertai aktiviti promosi produk King Koil Prince yang dijalankan.

Terdahulu, Fattah hadir pada sesi bertemu pelanggan sebagai duta produk tilam King Koil Prince koleksi eksklusifnya di COURTS, Setapak, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Disiarkan pada: August 23, 2018 @ 12:45pm
d