rap

'Tiada niat pun seksa anak'

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PELAKON, Saharul Ridzwan, 29, menganggap teguran dan kecaman diberikan netizen terhadap video dimuat naik di Instagramnya semalam, sebagai perkara biasa.

Video berdurasi 44 saat itu menunjukkan isterinya, Qaabila Deena Amir, sedang menyuap makanan ke mulut anaknya, Muhammad Luth Ali atau Ali yang sedang dalam keadaan mengantuk.

“Banyak netizen terutamanya dalam kalangan wanita mungkin sudah bergelar ibu menulis komen-komen menghentam saya dan isteri.

Malah, ada yang kata kami gila glamor sampai paksa anak makan dan sebagainya,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, sebagai bapa, tidak mungkin dia berniat untuk menyeksa anaknya seperti mana diperkatakan oleh netizen.

“Kalau bercakap mengenai media sosial, ada komen negatif dan positif. Saya tak layan sangat komen negatif, tapi kalau ia berbentuk teguran bernas, saya terima.

“Anak saya, Ali pun dah masuk usia setahun lebih. Jadi, macam-macam ragam dah keluar. Mungkin ada tak setuju dengan cara saya dan isteri kerana tak sama seperti cara mereka membesarkan anak-anak mereka,” katanya.

Untuk mengelakkan salah faham, Saharul kemudiannya menyunting kapsyen video itu dan menulis penjelas untuk menjawab komen-komen netizen.

“Saya tak mampu nak balas satu persatu komen netizen. Jadi, saya tulis semula di ruangan kapsyen video itu, menjelaskan keadaan sebenar dan bagaimana saya dan isteri membesarkan anak kami,” katanya.

Muat naik itu menerima hampir 150,000 tontonan, lebih 35,000 ‘like’ dan lebih 500 komen daripada netizen.

Disiarkan pada: August 27, 2018 @ 3:56pm
d