rap

Belum cukup buat Tanah Akhirku...

Oleh Rudy Imran Shamsudin

WALAUPUN pementasan Teater Tanah Akhirku akan bermula esok namun penerbit dan pelakon utamanya Mei Fen Lim masih mengalu-alukan tajaan pihak berminat.

“Kami menyambut baik mana-mana berminat bagi membolehkan karya diketengahkan sehingga 1 September depan dapat dipersembahkan dengan lancar,” katanya dihubungi, hari ini.

Setakat ini, produksi Teater Tanah Akhirku dipentaskan di Istana Budaya (IB) Kuala Lumpur masih memerlukan sokongan kewangan.

“Biarpun dinasihatkan tidak mendedahkan masalah dana kerana bimbang semangat mereka terbabit akan jatuh namun saya memilih berterus-terang kerana tidak mahu menipu.

“Perjuangan kali ini sangat mencabar kerana saya mula mengetuk pintu mencari dana sejak Februari lalu namun masih gagal mendapat sebarang penajaan,” ujarnya.

Selain Mei Fen, teater Tanah Airku dibintangi pelakon popular seperti Aeril Zafril, Erma Fatima, Izzue Islam, Nina Nadira dan Angeline Tan.

Terbaharu, pihak Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) berbesar hati memperuntukkan dana sebanyak RM150,000 demi membantu teater di bawah arahan Naque Ariffin dan Aloeng Silalahi itu agar dapat dipentaskan.

Menurut Mei Fen lagi, pihaknya bersyukur menerima dana diberikan namun masih tidak mencukupi untuk menampung kos produksi mencecah RM500,000.

“Selepas berbincang dengan Aswara, kami sepakat adakan kutipan dana pada Malam Gala akan berlangsung malam esok di Panggung Sari IB.

“Malam Gala akan dihadiri Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali,” katanya.

Mei Fen mengaku berdegil meneruskan teater itu kerana tidak mahu melepaskan peluang diberi IB untuk generasi muda.

Lagipun, isi penceritaan mahu disampaikan bertepatan dengan senario Merdeka tahun ini.

Menurut Mei lagi, pementasan diharap dapat memupuk semangat kekitaan dalam kalangan rakyat tanpa mengira darjat, usia atau kaum meraih Merdeka Tahun 2018 bersama Tun Mahathir merealisasikan impian Malaysia Baru.

Pihak produksi teater turut mengalu-alukan dana dan tiket-tiket Malam Gala boleh dibeli pada harga RM500 dan RM1000 melalui talian 016-4833786 (Miss Fong) atau 012-4757728 (Faez Malek).

Disiarkan pada: August 27, 2018 @ 7:22pm
d