rap

'Sorry ya... bukan saya bertunang'

Oleh Norhayati Nordin

PENYANYI Fitri Haris, 34, memohon maaf kepada pengikutnya di Instagram (IG) yang menganggap dia sudah bertunang, baru-baru ini.

Ia berpunca daripada tindakan Fitri memuat naik foto seorang wanita yang disarung cincin di jari pada majlis yang berlangsung di Kota Tinggi, Johor, minggu lalu.

Ditambah dengan kapsyen ditulis, ia membuatkan ramai peminat yakin Fitri yang bertunang dan menitipkan ucapan tahniah kepadanya.

Fitri ditemui berkata dia sekadar mahu bergurau dengan pengikutnya di IG dan tidak sangka foto serta kapsyen ditulis itu di salah erti oleh mereka.

"Saya mohon maaf dan ingin tegaskan tidak berniat langsung cuba menipu pengikut di IG. Memang bukan saya yang bertunang pun.

"Ia sebenarnya majlis bahagia sepupu dan bapa saya pula menjadi salah seorang wakilnya. Saya hanya niat suka-suka saja muat naik foto itu.

"Namun, tak sangka ia mendapat puluhan ribu 'likes' termasuk ratusan komen yang mengucapkan tahniah kepada saya.

"Terus-terang, saya berasa sangat bersalah kepada pengikut IG dan dengan ikhlas hati, saya mohon maaf pada mereka," katanya.

Selain itu, Fitri juga menyangkal tujuan foto itu dimuat naik sebagai promosi awal single terbarunya, Wahai Kekasihku yang dilancarkan pada hari ini.

"Bukan niat saya cuba membuat publisiti murah dengan gimik seperti itu semata-mata untuk mempromosi single baru, Wahai Kekasihku.

"Apa yang boleh dikata, saya kesal dengan apa yang dilakukan. Namun, terima kasih pada pengikut yang sentiasa memberi sokongan," katanya.

Mengulas mengenai jodoh, Fitri yang berstatus bapa tunggal akui dia kini lebih memberi tumpuan untuk menyiapkan pengajian kedoktoran falsafah (PhD) di United Kingdom sekitar hujung tahun ini.

"Saya sebenarnya lebih bimbang dan berada selalu dalam tekanan kerana memikirkan pengajian yang belum dapat diselesaikan lagi.

"Memang saya tak fikir langsung pasal jodoh kerana fokus pada pendidikan. Sekarang, sibuk pula dengan karier nyanyian," katanya.

Fitri yang juga bekas anggota kumpulan nasyid UNIC berkata jadual aktiviti seninya agak padat ditambah selepas single Wahai Kekasihku dilancarkan.

Disiarkan pada: August 27, 2018 @ 8:11pm
d