rap

Riuh-rendah dengan gelak tawa penonton

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Konsert HaVOOC yang dipancarkan secara langsung dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam membuka dimensi baru dalam industri komunikasi dan hiburan tanah air apabila Oppo, syarikat telekomunikasi terkemuka dari China bekerjasama dengan TV3 bagi memperkenalkan peranti terbaru, Oppo F9 yang dilancarkan di Malaysia minggu lalu.

Strategi menggandingkan barisan artis terkemuka dalam konsert ini iaitu Ayda Jebat, Achey Bocey, Aiman Tino, Nabila Razali, Khai Bahar, Mark Adam, Ernie Zakaria dan Kaka Azraf ternyata menjadi apabila Sri Pentas 2 dipenuhi kelab peminat setiap artis.

Menariknya, mereka dipecahkan kepada dua kumpulan apabila kumpulan pertama, VOOC Team disertai Ayda Jebat, Achey Bocey, Aiman Tino dan Nabila Razali manakala kumpulan Color Team pula membariskan Khai Bahar, Mark Adam, Ernie Zakaria serta Kaka Azraf yang bersaing sesama mereka bagi membuktikan keunggulan masing-masing.

Tidak terkecuali pasangan layar kaca paling hangat iaitu Saharul Ridzwan dan Zahirah Macwilson yang melonjak naik menerusi drama bersiri Jangan Benci Cintaku turut ditampilkan sebagai daya penarik konsert ini.

Sementara Issey dan Elfira Loy yang ditampilkan sebagai pengacara berjaya menggalas tanggungjawab yang diberikan dengan cemerlang.

Sesuai dengan kecanggihan jenama baru Oppo F9, tirai konsert yang bermula pada jam 10 malam dibuka dengan tarian futuristik daripada sekumpulan penari.

Kemudian Kaka Azraff mengambil tempat sebagai penyanyi pertama menyampaikan lagu Sibuk.

Pentas seterusnya diambil alih Mark Adam yang mendendangkan lagu terbaru berjudul Amnesia. Menariknya lagu ini menampilkan nama selebriti popular antaranya Neelofa dan Sharifah Sakinah. Penonton di studio dan di rumah bertuah kerana menjadi individu terawal mendengar single terbaru Mark.

Kemunculan Ernie Zakri dengan lagu popularnya Jangan Marah berjaya menghangatkan keadaan apabila peminatnya berdiri sambil memegang kain rentang yang tertulis namanya.

Kehangatan persembahan dihentikan seketika bagi memberikan laluan kepada acara permainan pertama iaitu mereka logo F9 dan VOOC Challenge membabitkan kedua-dua kumpulan.

Situasi ketika itu meriah meriah dengan gelak tawa penonton apabila artis yang bertanding berusaha menonjolkan kreativiti mereka untuk muncul sebagai pemenang.

Konsert diteruskan semula selepas itu dengan persembahan Achey menerusi lagu Yang Terindah dan Khai Bahar dengan lagu Bayang.

Empat peranti Oppo F9 pula ditawarkan sebagai hadiah untuk dimenangi empat individu bertuah yang mengundi kumpulan kegemaran mereka ketika konsert berlangsung.

Peminat di studio juga tidak dilupakan apabila turut mengambil bahagian dalam acara permainan kedua iaitu tiru gaya maskot. Tiga penonton diminta meniru tarian maskot Oppo yang rancak dan penuh bertenaga sehingga menimbulkan rasa kagum penonton.

Menjelang pertengahan konsert, penonton dihiburkan pula dengan persembahan Nabila Razali menerusi lagu Pematah Hati dan Aiman Tino mengalunkan lagu Ku Sesat Dalam Rindu.

Acara permainan ketiga ditampilkan iaitu Mad Lip Drama dan seterusnya disusuli nyanyian Ayda Jebat dengan lagu Objection.

Sebagai penutup, semua artis menyanyikan lagu Standing in The Eyes yang dilihat amat bersesuaian dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-61 yang akan disambut pada 31 Ogos ini.

Senior Producer, Primeworks Studios merangkap penerbit Konsert HaVOOC Zaini Saidi mengakui konsert ini satu pembaharuan yang diketengahkan TV3.

"Oppo tawarkan kami untuk buat konsert sempena pelancaran Oppo F9. Kami perlu fikirkan cara untuk tarik penonton dengan persembahan dan acara permainan yang disajikan.

"Perancangan untuk konsert ini dibuat dalam masa tiga bulan. Kami kena berurusan dengan artis yang ramai dan ia bukan satu kerja mudah.

"Kerenah artis juga macam-macam tapi akhirnya malam ini kami dapat capai hasil yang memuaskan," katanya.

Kata Zaini, pemilihan artis pula dibuat secara bersama oleh pihak Oppo dan TV3 dan prosesnya tidaklah terlalu rumit.

"Kami cadangkan nama barisan artis kepada Oppo dan mereka bersetuju. Segmen pula, Oppo menetapkan tiga permainan iaitu dua membabitkan artis dan satu lagi peminat.

"Kami bebas pilih permainan yang sesuai, manakala Mad Lip Drama pula kami ambil daripada segmen drama Jangan Benci Cintaku dan filem Pulang yang sedang ditayangkan sekarang," katanya.

Zaini berkata, masa yang terhad membuatkan dia agak sukar untuk menjelaskan secara terperinci permainan yang diketengahkan.

"Kami perlu buat latihan tetapi masa tidak cukup. Bagaimanapun, kami buat sedaya upaya dan alhamdulillah ia akhirnya menjadi.

"Nama konsert HaVOOC pula dipilih bagi disesuaikan dengan Oppo F9 yang menggunakan tagline VOOC Flash Charge yang mampu memberikan dua jam masa berbual dengan cuma 5 minit pengecasan.

"Diakui agak janggal juga apabila buat konsert dalam studio tetapi kehadiran ramai peminat buat acara ini hidup," katanya mengalu-alukan mana-mana pihak yang mahu bekerjasama dengan mereka lagi selepas ini.

Bagi penyanyi Nabila Razali, Konsert HaVOOC berjaya menyatukan artis dan semua ahli kelab peminat mereka.

"Bagi saya ini bukan kerja tetapi lebih kepada peluang saya untuk bergembira dengan peminat. Malam ini saya dan rakan artis lain seronok menyaksikan betapa bersemangat peminat menyokong kami.

"Saya sudah lama dilamar untuk terbabit dalam konsert ini dan selepas merasainya saya rasa ia patut diadakan lagi kerana ia dapat menyatukan artis dan peminat," katanya.

Mark Adam turut menzahirkan perasaan teruja terbabit dalam konsert HaVOOC.

"Konsert ini memang luar biasa dan saya dapat banyak maklum balas positif di media sosial. Diharap ia akan diteruskan lagi pada masa depan.

"Biarpun dibuat dalam studio, sambutannya sangat hebat. Saya bertuah menjadi sebahagian daripada konsert ini," katanya.

Sementara itu, Aiman Tino mengakui pembabitannya bertujuan mempromosi jenama Oppo F9 disamping menghiburkan peminat.

"Kami bersaing dalam permainan sihat dan ia mencuit hati peminat. Ia berlangsung dalam suasana santai dan ceria," katanya.

Disiarkan pada: August 28, 2018 @ 12:33pm
d