rap

Sarat elemen dakwah

Oleh Ramlah Zainal

Filem Munafik 2 bukan sekadar memenuhi cita rasa penggemar genre seram Islamik tetapi turut memaparkan elemen dakwah yang mampu menyentuh jiwa penonton.

Sekuel Munafik ini juga menjanjikan kelainan dan lebih hebat berbanding filem pertama ditayangkan pada 2006 yang mencatat kutipan sebanyak RM19 juta.

Pengarah dan pelakon utamanya, Syamsul Yusof, 34, mengakui dia berdepan tekanan hebat untuk menyiapkan filem ini.

“Saya perlu menghasilkan karya yang lebih bagus daripada Munafik yang pertama kerana jangkaan peminat yang tinggi pada sekuel ini.

“Sebagai pembikin filem, saya mahu menghasilkan karya di luar kotak dan beri kepuasan kepada diri dan penonton. Ia adalah kesinambungan daripada Munafik yang pertama. Ia memaparkan kisah hidup Ustaz Adam selepas setahun berlalu,” katanya.

Syamsul berkata, apa yang menarik filem itu juga mengambil inspirasi daripada kisah nabi untuk memberi pengajaran pada penonton.

“Pada mulanya, saya memang mengkaji semua filem seram untuk memberikan yang terbaik untuk Munafik 2. Saya juga perlu seimbangkan cerita seram dan dakwah kepada masyarakat.

“Namun, akhirnya saya kembali kepada al-Quran dan mengkaji semula kisah nabi untuk menghasilkan filem yang memaparkan perjuangan seorang pendakwah Islam.

“Kisah kumpulan ajaran sesat yang diketuai Abu Jar yang dipaparkan dalam filem ini pula inspirasi daripada kisah yang berlaku pada zaman jahiliyah dulu,” katanya.

Lakonan mantap Maya Karin dan Nasir Bilal Khan

Sebagai pengarah, Syamsul mengakui Munafik 2 tidak akan berjaya tanpa komitmen terbaik barisan pelakon dan kru terbabit.

Paling mencuri perhatian ialah lakonan mantap Maya Karin dan Nasir Bilal Khan.

Menurut Syamsul, dia sangat berpuas hati dengan lakonan hebat Maya sebagai Sakinah, ibu tunggal yang menjaga bapanya yang menghidap penyakit misteri.

“Pertama kali saya bekerjasama dengan Maya dan mungkin kerana saya sangat fokus di lokasi penggambaran sehingga sudah ‘mendera’ Maya dalam filem ini. Bayangkan sehingga tarikh penggambaran pun, saya masih menukar dialog,” katanya.

Begitu juga dengan lakonan mantap Nasir sebagai ketua ajaran sesat yang mengamalkan ilmu hitam iaitu Abu Jar yang dipuji dalam filem itu.

“Saya sendiri tergamam apabila menonton dialog yang diucapkan Abang Nasir ketika proses suntingan. Sebagai pengarah, saya juga mengutamakan dialog yang diucapkan Abu Jar kerana pastikan ia tidak memesongkan akidah.

“Sebab itu filem itu mengambil masa yang lama untuk dinilai LPF (Lembaga Penapisan Filem) dan JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia),” katanya.

Mengenai harapannya dalam filem ini, Syamsul berkata, dia sangat berharap penonton dapat menerima mesej keagamaan yang disampaikan dalam filem sekuel itu.

“Saya akui Munafik 2 ini berat tetapi ia tidak kosong kerana sarat dengan elemen dakwah. Saya sendiri berasa sebak menonton filem ini dan saya percaya ada penonton yang akan menangis kerana menghayati mesej disampaikan.

“Namun, saya faham jika ada penonton yang menganggap naskhah ini berat tetapi ia terpulang pada penilaian penonton nanti,” katanya.

Munafik 2 turut menampilkan barisan pelakon seperti Mawi, Datuk Rahim Razali, Datuk Fizz Fairuz, Fauzi Nawawi dan Ku Faridah.

Filem terbitan Skop Productions Sdn Bhd ini akan mula ditayangkan di pawagam seluruh tanah air mulai esok.

Disiarkan pada: August 29, 2018 @ 12:14pm
d