rap

Ramai terkejut Erma tarik diri

Oleh Rudy Imran Shamsudin

PENGARAH dan pelakon, Erma Fatima menarik diri daripada pementasan Tanah Akhirku yang memulakan persembahannya semalam.

Tindakan itu dibuat disebabkan dia tidak berasa tidak adil untuk bersama pelakon lain menjayakannya kerana tidak berlatih penuh dan komitmen aktiviti seni yang lain.

Malah, ketiadaannya di atas pentas mengejutkan penonton.

Persembahan Malam Gala Tanah Akhirku itu dihadiri Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali selaku penaung.

Pada sidang media teater itu Julai lalu, Erma diumumkan antara pelakon bakal muncul dan wajahnya juga terpampang dalam poster Tanah Akhirku.

Persembahan watak Mak Engku sepatutnya dilakonkan pelakon Mak Cun itu digantikan Farah Ahmad yang juga menantu kepada seniwati Fauziah Nawi.

Kata Erma dia mengambil keputusan itu kerana tidak dapat memberi komitmen penuh pada sesi latihan.

“Saya berlatih tetapi tidak penuh kerana sibuk dengan beberapa komitmen ativiti seni. Jadi, tidak adil sekiranya saya tampil pada hari pementasan.

“Farah memang pelakon gantian dan dia dapat memberi komitmen penuh, jadi dia layak menjayakan watak terbabit,” katanya.

Penerbit dan pelakon utama Tanah Akhirku, Lim Mei Fen berkata, dia tidak terkilan Erma menarik diri.

“Erma banyak berkorban demi pementasan ini. Saya hampir membatalkan teater ini tiga hari sebelum dipentaskan kerana kekurangan dana.

“Bagaimanapun Erma menghalang saya berbuat demikian dan memikul tanggung jawab mencari dana sebanyak mana dia mampu bagi membolehkan ia diteruskan,” katanya.

Selain Erma, Tanah Akhirku sedang dipentaskan di Istana Budaya sehingga 2 September turut dibintangi pelakon popular seperti Izzue Islam, Aeril Zafrel, Nina Nadira dan Angeline Tan.

Disiarkan pada: August 29, 2018 @ 4:23pm
d