rap

Bront Palarae koyak otot

Oleh Ramlah Zainal

PELAKON dan penerbit filem terkenal Bront Palarae terpaksa berkerusi roda dan bertongkat kerana mengalami kecederaan ketika penggambaran drama bersiri The Bridge di Johor Bharu.

Menurut Bront, 40, kecederaan dialami ketika dia menjayakan babak dari kapal ke bumbung bangunan drama bersiri terbabit, semalam.

“Saya terdengar seperti bunyi otot terkoyak hingga tidak boleh berjalan.

“Kru penggambaran terpaksa membawa saya menjalani rawatan di hospital di Johor Bahru.

“Menerusi imej resonan magnetik (MRI), doktor memberitahu otot betis kanan saya terkoyak.

“Doktor minta saya melakukan rawatan fisioterapi dan berehat selama dua minggu,” katanya.

Bront ditemui sewaktu pratonton filem One Two Jaga di Damansara, hari ini.

Namun, kata Bront, dia hanya dapat berehat selama lima hari kerana perlu menyelesaikan baki penggambaran siri The Bridge itu.

“Doktor memberitahu saya hanya boleh berjalan selepas dua minggu dan boleh kembali melakonkan babak aksi selepas enam minggu.

“Terus terang, ia adalah kecederaan paling teruk pernah dialami sepanjang terbabit dalam bidang lakonan.

“Apapun, saya anggap Ia adalah ujian perlu dilalui ketika sibuk untuk mempromosikan filem One Two Jaga,”katanya.

Filem One Two Jaga arahan Nam Ron dan dilakonkan barisan pelakon seperti Zahiril Adzim, Rosdeen Suboh, Amerul Affendi, Chew Kin Wah, Ario Bayu dan Asmara Anigail bakal menjengah pawagam tanah air bermula 6 September ini.

Disiarkan pada: August 30, 2018 @ 4:28pm
d