rap

Jungkook

Oleh Michelle Gun

Peminat kumpulan BTS menyerbu stesen kereta api King's Cross di London untuk melihat poster Jungkook yang dipamerkan di premis terbabit.

Menurut portal Metro UK, poster anggota kumpulan pop popular Korea Selatan terbabit adalah sempena ulang tahun ke-21 Jungkook, semalam.

Oleh kerana poster itu dipamer sehingga 9 September ini, peminat berpusu-pusu ke stesen terbabit untuk merakam gambar kenangan.

Pastinya, itulah lokasi paling sesuai bagi peminat Jungkook menyambut hari lahir idola kesayangan mereka.

Jungkook vokalis utama BTS dan menempa nama dalam industri muzik sejak berumur 14 tahun selepas menyertai program realiti Superstar K.

Peminat di United Kingdom boleh menemuinya apabila BTS mengadakan konsert pada 9 dan 10 Oktober depan.

Sementara itu, BTS mencipta rekod baharu apabila lagu Idol menjadi video muzik paling hangat di YouTube.

Setakat ini, video muzik itu meraih lebih 108 juta tontonan dalam tempoh tujuh hari pelancaran sejak 24 Ogos lalu.

Rekod itu dianggap pencapaian terbaik selepas video muzik Fake Love ditonton lebih 100 juta kali dalam tempoh lapan jam, Mei lalu.

Sementara itu, anggota BTS, J-Hope memuat naik rakaman video cabaran tarian Idol untuk peminat kumpulan berkenaan ke Twitter dan kini menjadi tular.

Ramai peminat di serata dunia tidak melepaskan peluang berkongsi rakaman mereka melakukan cabaran terbabit.

Malah, anggota B.A.P, Zelo memberi sokongannya dengan menyahut cabaran itu di Twitter.

Sejak meraih populariti luar biasa di pentas dunia, BTS mencuri perhatian Ellen Degeneres dan sudah dua kali diundang ke program bual bicara kendalian pengacara terkenal itu.

Terbaru, pengacara James Corden menyatakan hasrat ingin menjemput BTS dalam siri Carpool Karaoke yang dikendalinya.

Sebelum ini, Corden mengundang beberapa selebriti nama besar seperti Paul McCartney, Ed Sheeran, Stevie Wonder, Elton John, Adele dan Madonna.

Disiarkan pada: September 2, 2018 @ 1:00am
d