rap

Fikiran 'ke laut' kata Ben [METROTV]

Oleh Sudirman Mohd Tahir

“DIAKUI saya agak lemah dalam pengetahuan sejarah, tetapi tidaklah yang ‘simple’ pun saya tak tahu,” kata penyanyi remaja Ben Ladin mengenai video tular yang memaparkan dirinya gagal menjawab beberapa soalan pengetahuan am membabitkan negara.

Ben, 17, atau nama sebenarnya Muhammad Benladin Munshi Shaihan berkata, pada hari kejadian dia diterjah kru program online F8Buzz ketika sedang bersiap sedia menjalani rakaman program TV pada 21 Ogos lalu.

Menurut Ben, bagi memenuhi permintaan mereka dia bersetuju terbabit dalam permainan Kuiz Merdeka itu.

“Ketika itu saya sedang bersiap sedia untuk menjalani rakaman program KLTV untuk lagu terbaru, Hikayat Benladin. Saya jenis, setiap kali nak ‘on camera’, otak mesti fokus kerja yang ingin dilaksanakan dan tidak suka diganggu.

“Saya dipelawa untuk bermain kuiz Merdeka. Supaya tidak menghampakan dan tidak mahu dilabel ‘kekwat’, dengan berat hati saya bersetuju tanpa memahami permainan itu.

“Terus saja kamera berada depan muka dan bertanya soalan. Syarat saya kena jawab sepantas mungkin. Memang terpinga-pinga dibuatnya,” katanya kepada Harian Metro.

Menerusi kuiz itu, Ben ditanya lapan soalan. Antaranya, bunga kebangsaan Malaysia, nama bendera Malaysia, jumlah bucu pada bintang dalam Jalur Gemilang dan kereta pertama negara.

Seterusnya, Ben ditanya lagi nama Perdana Menteri Malaysia ketiga, lokasi pokok getah tertua di Malaysia, nama feri penumpang dari Semenanjung Malaysia ke Sabah dan rukun negara ketiga.

Daripada lapan soalan itu, Ben hanya dapat menjawab satu soalan iaitu kereta pertama negara. Selebihnya, Ben menjawab dalam keadaan keliru dan salah.

“Soalan kurang pasti membabitkan pokok getah dan perkhidmatan feri. Disebabkan ketika itu kepala otak fokus persembahan, jadi memang ‘ke laut’ fikiran.

“Jika tidak perlu jawab dengan pantas, memang saya boleh jawab. Insya Allah.

“Cuma agak terkilan sepatutnya pihak berkenaan kena minta izin dan berbincang dulu dengan saya atau syarikat rakaman Sony Music Malaysia sebelum memuat naik di laman sosial mereka. Apa pun, kelemahan dan kesilapan datang daripada saya sendiri. Yang terbaik pastinya daripada Allah SWT,” katanya.

Menerusi tinjauan di laman sosial milik F8Buzz, video Ben itu sudah dibuang. Malah, pihaknya juga sudah meminta maaf kepada Ben di Instagram.

“Kami memohon maaf kepada Ben kerana tidak sangka kuiz spontan yang kita buat itu boleh dikecam teruk.

“Ben pada masa itu sedang bersiap sedia untuk satu rakaman dan kami terus terjah. Melalui pengalaman, bukan hanya Ben akan panik dan tidak boleh menjawab bila tiba-tiba diaju soalan bertubi-tubi dengan kamera di depan muka.

“Bezanya, Ben sedar dirinya melakukan kesilapan dan cukup sporting untuk mengaku. Sabar ya Ben,” tulis pihak berkenaan.

Disiarkan pada: September 3, 2018 @ 9:21am
d