rap

Bermain dengan metafora

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Selaku pengarah dan penulis skrip teater Bingkas Timur, Sham Azzman Zakaria berasakan tanggungjawab itu sudah terlalu berat untuk digalas dan tidak terfikir untuk berlakon sama.

Namun rakan seperjuangannya berpendapat dia individu paling tepat untuk membawakan watak Umar, teraju utama teater itu.

Ini kerana teater yang penuh kiasan dan berkonsepkan ketuhanan itu memerlukan pelakon yang ada ilmu agama dan pengetahuan mendalam hal kesenian serta kebudayaan.

“Umar pejuang agama dan bangsa. Dia perlu tampil dengan yakin, punya langkah silat yang tangkas dan kemas serta setiap bicaranya mestilah lahir dari jiwa luhur.

“Mendalami ilmu agama sejak remaja, kita boleh berdakwah menerusi pelbagai medium termasuk menerusi seni dan budaya.

“Dalam Bingkas Timur saya cuba beritahu kepada penonton, siapakah pemimpin dan pemuda akhir zaman yang akan terus mempertahankan Islam. Dipercayai akan ada satu bintang datang dari Timur,” katanya.

Jadi kata Sham, dalam membicarakan kemunculan pemimpin itu dia banyak bermain dengan metafora.

“Apa yang saya simpulkan dalam Bingkas Timur adalah kebangkitan yang cepat dari Timur.

“Bingkas Timur lebih kepada ketuhanan, siapa tahu dia akan faham jalan ceritanya yang banyak berkias.

“Fikir dengan otak dan tangkap dengan hati. Persoalan yang bermain di akal, jawapannya ada pada hati,” katanya.

Di sebalik keterujaan Sham bercerita mengenai proses yang berlaku dalam Bingkas Timur, cabaran besar buat pasukan Persatuan Teater Anak Melayu (TAMU) adalah mereka terpaksa berkarya tanpa dana.

Pelakon hanya menerima wang sagu hati namun atas kecintaan yang begitu mendalam terhadap seni dan budaya, sahabat Sham sanggup memohon pinjaman dan jumlah yang terkumpul diserahkan kepada produksi bagi menyempurnakan gerak kerja pementasan itu.

“Kami turut mengeluarkan wang saku sendiri sehingga tiada apa yang tinggal. Itulah perjuangan dan pengorbanan kami untuk Bingkas Timur,” katanya.

Sham yang sebelum ini aktif berlakon drama dan filem masih menunggu tawaran untuk tampil di kaca TV dan layar lebar.

Bapa kepada sembilan cahaya mata itu pernah menetap bersama keluarga di Cameron Highlands selama dua tahun sebelum dipelawa rakannya berpindah ke Negeri Sembilan agar dapat menghidupkan seni dan budaya di daerah itu.

Bingkas Timur akan dipentaskan di Auditorium D’Sury, Kompleks JKKN (Jabatan Kesenian dan Kebudayan Negara), Negeri Sembilan, pada 7 dan 8 September ini jam 8 malam. Masuk adalah percuma.

Ia dilakonkan Shah Farid Zain (Ayah Ku Harun), Wan Suhaimi Wan Ismail (Muluk), Pyan Habib, Feiyna Tajudin (Mawar), Haeriyanto Hassann (Wak Haji), Abdul Rahim Kidol (Hj Hassan).

Disiarkan pada: September 4, 2018 @ 10:43am
d