rap

Papa Rock tolak dua sekali...

Oleh Ramlah Zainal

PENGHIBUR rock legenda terkenal, Datuk Ramli Sarip mengakui pernah menolak untuk bekerjasama dengan dua penyanyi baru kerana tidak menepati kriteria ditetapkannya.

Menurut Ramli, dia juga tidak mahu mendedahkan nama penyanyi baru terbabit dan hanya memberitahu perkara itu secara umum saja.

“Sebenarnya, saya juga terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana penyanyi baru kerana ramai yang bagus dan kreatif untuk diketengahkan dalam bidang nyanyian.

“Saya percaya tiada penyanyi baru, justeru tiadalah penyanyi yang lama.

“Namun, bila penyanyi baru itu diuji sikit mereka nampaknya tidak boleh mengangkat sesebuah lagu itu seperti sepatutnya.

“Pada pemerhatian saya, segelintir penyanyi baru sekadar boleh menyanyikan lagu tetapi jiwa dan penghayatan dalamannya tidak ada,” katanya.

Ramli berkata pada sidang media kedua Doa Buat Kekasih - 30th Anniversary Tour 2018 bersama Datuk Khadijah Ibrahim yang berlangsung di Nu Sentral Mall, hari ini.

Mengenai tawaran sebagai juri program realiti TV dalam bidang nyanyian pula, kata Ramli, dia bersedia mempertimbangkannya jika menepati syarat ditetapkannya.

“Saya tidak ada masalah menjadi juri program realiti TV tetapi tidak mahu terbabit dengan sebarang ‘drama’ diatur dalam program itu.

“Banyak program realiti TV sekarang ada ‘drama’ diatur penerbit untuk mewarnai program itu.

“Jika diberi kepercayaan sebagai juri program realiti TV, saya mahu bersikap jujur memberikan sebarang komen dan pendapat dalam menilai persembahan peserta program terbabit,” katanya.

Disiarkan pada: September 4, 2018 @ 8:59pm
d