rap

Hans bawa ke Melbourne, London

Oleh Georgie Joseph

PELAKON dan penerbit Datuk Hans Isaac bakal membawa produksi Baik Punya Concert 4D ke Melbourne, Australia dan London, United Kingdom demi mengukuhkan penjenamaan projek berkenaan.

Hans, 47, berkata dia yakin konsert berkenaan bakal diterima baik di sana bukan saja penonton warganegara Malaysia namun orang luar.

“Selain Malaysia, Singapura dan Brunei, saya juga akan membawa konsert itu ke Melbourne dan London. Bukan dalam masa terdekat namun saya yakin ia boleh mendapat sambutan di sana.

“Bahasa bukan penghalang disebabkan kandungan yang kami ada cukup kuat. Misi kami adalah untuk membuat orang ketawa dan menghiburkan semua selain mengukuhkan lagi penjenamaan Baik Punya Concert 4D itu sendiri.

“Apapun, proses untuk menguruskan acara itu seperti lokasi dan logistik lain memerlukan masa serta belanja yang banyak. Bagaimanapun, saya tidak kisah jika jualan tiket pulang modal asalkan acara itu dijalankan,” katanya.

Hans mengakui lega dan teruja apabila penjualan tiket konsert pembuka yang diadakan di Esplanade, Singapura pada 13 Oktober nanti sangat memberangsangkan.

“Untuk konsert di Singapura, kami sasarkan 1,600 penonton hadir untuk acara itu. Sebaik penjualan tiket dibuka hari ini (semalam), lebih 400 berjaya terjual dan semestinya ia petanda yang bagus,” katanya ditemui di pelancaran program realiti Celebrity Car Wars.

Bercakap mengenai program itu, Hans mendedahkan dia sanggup menolak sebuah tawaran produksi lain di luar negara demi program berkenaan.

“Hala tuju karier saya sekarang adalah untuk terbabit dalam program yang lebih besar. Celebrity Car Wars semakin mendapat perhatian jutaan penonton di seluruh dunia dan disebabkan itu saya menerima tawaran daripada produksi,” katanya.

Program berkenaan membariskan selebriti dari Asia Tenggara termasuklah Diego Loyzaga dan Xian Lim dari Filipina, Munah Bagharib (Singapura) serta Matthew Deane dan Lydia Sarunrat dari Thailand.

Celebrity Car Wars bakal ditayangkan bermula 9 September ini, setiap Ahad, jam 9.55 malam di saluran History Channel (Astro 575).

Disiarkan pada: September 5, 2018 @ 4:58pm
d