rap

Bawa teman kalau tak...

Oleh Ramlah Zainal

PELAKON Julia Farhana Marin mendakwa dirinya hampir menjadi mangsa gangguan seksual produksi drama terkenal pada awal pembabitan bidang lakonan.

Menurut pelakon drama Asam Pedas Untuk Dia dan filem Raja Kapcai itu, kejadian berlaku ketika menghadiri sesi uji bakat dijalankan bersama penerbit dan pengarah produksi drama terbabit tiga tahun lalu.

“Saya masih ingat lagi, pengarah drama meminta saya menjayakan babak wanita gedik sewaktu sesi uji bakat itu.

“Pada mulanya, saya hanya berlakon di depan dinding saja.

“Namun, secara tiba-tiba pengarah terbabit meminta saya untuk menggoda dan menyentuhnya pula.

“Saya berasa terkejut dan keliru serta tidak jadi meneruskan uji bakat itu dan terus menangis bila sampai ke kereta,” katanya.

Julia ditemui pada pelancaran tiga drama bersiri Original Viu iaitu Salon, The Bridge dan Jibril di Petaling Jaya, hari ini.

Mengulas kejadian, kata Julia, dia berasa takut dan trauma dengan apa yang berlaku.

“Saya masih ingat lagi bagaimana mereka meletakkan maruah wanita seperti saya pada tahap paling rendah.

“Kejadian turut disaksikan penerbit produksi drama itu sendiri dan dia juga tidak berbuat apa pun ketika itu,”katanya.

Justeru, kata Julia dia menyarankan semua pelakon baru tidak datang sendirian menghadiri mana-mana uji bakat ketika ini.

“Berdasarkan pengalaman, saya menasihatkan pelakon baru membawa seorang teman untuk menemani mereka ketika menghadiri uji bakat.

“Bayangkanlah kejadian seperti itu masih berlaku pada zaman sekarang,” katanya.

Disiarkan pada: September 5, 2018 @ 7:50pm
d