rap

'Bukan senang berjauhan'

Oleh Ardini Sophia Sina

Berjauhan dengan keluarga bukanlah perkara mudah. Namun, demi kerjaya seninya di Malaysia, penyanyi dan komposer kelahiran Singapura, Alif terpaksa meninggalkan anaknya Alana yang berusia dua tahun dan isteri tercinta Azzah Fariha Samat, di sana.

Alif yang tampil dengan lagu solo berjudul Buat Selamanya pada tahun lalu terpaksa berkorban perasaan kerana dia bekerja untuk menyara keluarga.

Bagaimanapun, anak seni itu belum mempunyai sebarang perancangan untuk membawa mereka pindah ke sini. Andai keadaan mendesak dan memerlukan dia berbuat demikian, bekas anggota Sleeq itu akan bertindak membawa keluarganya menetap di Malaysia.

“Saya bekerja siang malam untuk mereka. Seluruh hidup saya dedikasi buat anak dan isteri. Buat masa ini, saya terpaksa berjauhan dengan anak dan isteri kerana masing-masing terikat dengan kerja.

“Bukan senang hidup berjauhan seperti ini apatah lagi anak sedang membesar. Memang ada banyak perkara yang saya terlepas sepanjang dia membesar.

“Terima kasih kepada isteri yang merelakan saya berada jauh di perantauan serta faham kerjaya saya sebagai komposer yang lebih banyak menghasilkan lagu buat penyanyi di sini,” katanya.

Katanya lagi, mungkin adalah lebih baik andai isteri dan anaknya terus berada di sana kerana dekat dengan keluarga. Alif bimbang, sekiranya mereka tinggal di sini, dia tidak punya masa untuk bersama mereka kerana sibuk dengan kerja.

Namun, setiap kali pulang bercuti, Alif akan pastikan dia memberikan 100 peratus tumpuan dan masa bersama mereka tanpa memikirkan komitmen kerja yang menanti sekembalinya ke Malaysia.

“Seronok dapat pulang ke Singapura. Anak akan berlari memeluk dan bermanja dengan saya. Ia adalah keadaan yang mengharukan kerana dia tetap kenal saya walaupun lama tidak bertemu.

“Apa yang pedih apabila hendak pulang ke Kuala Lumpur saya terpaksa keluar secara senyap-senyap. Kalau dia nampak, dia tidak akan lepaskan saya kerana tahu saya akan tinggalkan dia,” kata Alif.

Disiarkan pada: September 6, 2018 @ 1:59pm
d