rap

'Dah berpuluh tahun menunggu'

Oleh Amirul Haswendy Ashari

WARIS pencipta lagu rasmi negeri Selangor dan Melaka meminta pihak kerajaan dua negeri itu menjawab surat-surat dihantar kepada mereka sejak 1999 sehingga kini.

Lagu Duli Yang Maha Mulia (Selangor) dan Melaka Maju Jaya (Melaka) dicipta komposer sama yang mencipta lagu kebangsaan iaitu Negaraku, Allahyarham Saiful Bahri Alias.

Qus Nafiah Saiful Bahri, 46, dan adiknya Nurul Adzan Saiful Bahri, 44, berkata pihaknya sudah menghantar beberapa surat berkaitan permohonan untuk mengadakan pertemuan bagi mendapatkan pengiktirafan buat arwah bapa mereka.

Ditemui Harian Metro di Balai Berita, Jalan Riong, Kuala Lumpur, hari ini, mereka berkata surat menyurat melalui pos laju dan emel tidak pernah berbalas kecuali dijawab sekali saja oleh kerajaan Selangor pada Disember 2017.

“Selain itu, kami sempat bertemu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua ketika itu, Amirudin Shari pada 16 Januari lalu.

“Beliau memberi sokongan dan meminta kami menyatakan bentuk pengiktirafan atau jumlah dirasakan bersesuaian dengan jasa arwah bapa,” katanya.

Qus Nafiah mendakwa atas permintaan itu, dia mengirim surat pada 17 Januari dan terakhir pada 20 Julai lalu.

Namun, sehingga kini pihaknya masih tidak mendapat maklum balas walaupun Amirudin sudah dilantik sebagai Menteri Besar Selangor menggantikan Datuk Seri Azmin Ali.

Hal sama berlaku apabila mereka menghantar surat kepada pejabat kerajaan negeri Melaka tahun lalu.

Mereka mendakwa pihak kerajaan negeri pernah secara lisan meminta mereka hadir ke pejabat kerajaan negeri untuk membuat tuntutan.

“Apabila kami meminta surat, tiada jawapan diberikan mereka sehingga kini. Malah lagu rasmi itu juga sudah ditukar lirik asalnya,” kata Nurul Adzan meluahkan rasa kecewa.

Mereka berkata usaha dilakukan sejak berpuluh tahun ini bukan semata-mata kerana menuntut royalti atau pangkat tetapi keadilan dan pengiktirafan ke atas legasi ditinggalkan Saiful seperti mana diterima Tan Sri P Ramlee sebelum ini.

Pun begitu, mereka tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya isu ini tiada jalan penyelesaian.

Apatah lagi, mereka menyambung perjuangan ibu, Allahyarhamah Noraini Ahmad yang sama menuntut hak mereka sehinggalah dia meninggal dunia pada 21 Disember 1999.

Saiful Bahri dilahirkan di Payakumbuh, Sumatera Barat, meninggal dunia di Tokyo, Jepun pada 26 Disember 1976 ketika sedang bertugas untuk Filem Negara Malaysia (kini di bawah FINAS).

Beliau meninggalkan lima anak masih kecil ketika itu, yakni Norah Savitri (kini 50), Soufinaranti, 48, Qus Nafiah, Nurul Adzan dan Saiful Bahri Ahmad, 41.

Selain lagu Negaraku serta Duli Yang Maha Mulia (Selangor) dan Melaka Maju Jaya (Melaka), Allahyarham turut mencipta lagu Samudera, Barisan Kita, Angkatan Laut dan Berjaya.

Disiarkan pada: September 6, 2018 @ 6:14pm
d