rap

Tidak terikat genre nasyid

Oleh Ardini Sophia Sina

Kumpulan Nahwan Nur yang dianggotai Nashriq Ramli, Adidi Tamin, Hasif Mansor dan Nazim Zulkifle enggan terlalu terikat dengan genre nasyid.

Mereka lebih suka dikenali sebagai pendatang baru yang memperjuangkan lagu dengan unsur kerohanian dan moral.

Menurut Nazim, lagu berjudul Dia Ada yang dimuatkan dalam album mini mereka turut menyelitkan unsur rap dinyanyikan Yasin Sulaiman.

Mereka juga mempertaruhkan lagu yang dekat dengan anak muda zaman kini.

Tidak dinafikan, remaja lebih mudah tertarik dengan muzik moden dan lebih segar. Perkara ini membuatkan Nahwan Nur cuba melakukan pendekatan itu supaya dapat mempersembahkan karya mereka.

“Kalau kita lihat sekarang, lebih ramai anak muda yang menyukai lagu dengan rentak muzik moden. Kalau dengar perkataan nasyid saja, mereka akan rasa lagu itu tidak sedap untuk didengar.

“Kita tidak boleh nafikan situasi itu terjadi dalam masyarakat zaman ini. Oleh itu, Nahwan Nur mengambil pendekatan menggunakan aliran muzik digemari ramai dalam menyampaikan mesej kerohanian, ketuhanan dan nilai positif,” katanya.

Bermula dengan sebuah kelab nasyid di Universiti Putra Malaysia (UPM), empat anak muda ini hanya bergiat aktif di bawah naungan kelab berkenaan dan tidak berani melangkah jauh ke arus perdana.

Namun, atas dorongan rakan sekeliling dan kumpulan Inteam, mereka mengambil kata sepakat menjadi pelapis kepada kumpulan nasyid tanah air.

Walaupun hanya hadir bertiga tanpa kehadiran Hasif pada sesi fotografi, semangat juang mereka tetap jitu bagi mempromosikan album mini berjudul Dia Ada memuatkan tiga lagu termasuk Hawa Khatulistiwa dan Dunia Si Kecil.

“Kami sebenarnya aktif dengan kelab saja. Tapi Nahwan Nur sudah empat tahun bersama cuma baru tahun lalu kami ambil keputusan mencuba nasib ke arus perdana.

“Bagaimanapun, kami mengambil kata-kata positif daripada orang sekeliling terutama ibu bapa yang sentiasa menyokong kami. Diharapkan kehadiran kami dapat memeriahkan lagi industri seni tanah air,” kata Adidi.

Disiarkan pada: September 7, 2018 @ 12:48pm
d