rap

Impian 13 tahun kongsi pentas tercapai

Oleh Georgie Joseph

Bermula sekadar peminat, komposer dan penyanyi Amylea Azizan menanti selama 13 tahun untuk berkongsi pentas dengan Kaer Azami.

Amylea, 31, bersyukur akhirnya impian itu tercapai menerusi persembahan yang berlangsung meriah di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Lebih membuatkannya seronok apabila persembahan itu mendapat sambutan luar biasa dan di luar jangkaan.

“Saya tahu ramai penonton yang hadir adalah peminat Kaer. Maklumlah, dia pun sudah lama menyepi dan dirindui mereka.

“Terus terang, saya juga pernah menjadi peminatnya ketika dia bertanding dalam AF2 (Akademi Fantasia 2). Malah, saya antara orang yang berhabisan mengundinya ketika itu.

“Tak sangka kami ditakdirkan menjadi rakan karib pula selepas saya keluar dari AF3. Dari situlah sebenarnya saya simpan cita-cita untuk berkongsi pentas dengan Kaer,” katanya.

Amylea mengakui sangat berbangga dengan rakan duetnya menerusi lagu Tak Pernah Hilang itu apabila berjaya memberi persembahan mengagumkan.

“Saya sebenarnya sangat terkejut apabila Kaer serta-merta bertukar di pentas dan buka langkah tarinya. Pada sesi raptai, tiada pula dia beraksi sedemikian.

“Memang saya tabik sangat apabila dia berjaya memberikan aksi yang sangat menghiburkan walaupun lama menyepi. Ternyata naluri saya kuat mengatakan dia adalah pasangan yang tepat berkongsi pentas,” katanya.

Bagaimanapun, dalam merealisasikan persembahan itu, Amylea mengakui mereka tidak terlepas daripada banyak dugaan. Timbul kebimbangan sekiranya mereka tidak dapat memuaskan hati penonton.

Bagaimanapun, semangat untuk memberikan yang terbaik lebih mengatasi segala-galanya.

“Kalau diikutkan, memang ada juga dugaan yang kami terpaksa hadapi terutama menjelang hari persembahan. Dugaan itu datang daripada pelbagai sudut.

“Bimbang juga persembahan kami menjadi atau tidak. Takut ia tidak menepati cita rasa penonton, namun jelas mereka sangat berpuas-hati serta terhibur,” katanya.

Bukan itu saja, Kaer pula berdepan rintangan apabila tiba-tiba mengalami demam seminggu sebelum hari persembahan.

“Bagaimanapun, saya cuba lakukan yang termampu untuk menjalani sesi latihan dan menghilangkan rasa bimbang itu. Bukan itu saja, seperti biasa memang akan ada juga perselisihan faham yang berlaku antara saya dan Amylea. Dari segi pemilihan lagu misalnya, banyak yang kami terpaksa bincangkan berkali-kali.

“Ada lagu yang saya cadangkan ditolak. Namun, saya perlu akui alasannya masuk akal disebabkan peminat pastinya mahu saya menyanyikan lagu yang mengimbau semula saat saya bermula dulu,” katanya.

Dihadiri lebih 400 penonton, Amylea dan Kaer ternyata begitu bertenaga di pentas. Aura penghibur mereka jelas terserlah dan cukup selesa mempersembahkan setiap lagu masing-masing.

Ini terutama bagi Kaer yang sudah lama tidak beraksi, rupa-rupanya dia masih berbisa dan mampu mengendalikan sesi solonya dengan baik.

Penyanyi itu membuka tirai dengan menyanyikan beberapa lagu yang berjaya menaikkan namanya tidak lama dulu. Lagu itu termasuk Menjelma, Tak Ingin Bebas, Hanya Memuji, Januari, Andai, Izinkan Ku Pergi, dan Satu.

Amylea juga tidak kurang hebatnya apabila bukan saja berjaya mempamerkan vokal mantap, malah interaksinya dengan peminat sangat mengagumkan.

Penyanyi itu menyanyikan lagu Akan Tiba, Sindarela, Seperti Dia, If I Ain’t Got You, I’m Yours dan Ku Berserah.

Untuk sesi kemuncak, mereka bergabung menyanyikan lagu My Boo, Sinaran, Best Part, Manusia Kuat dan lagu duet terbaru mereka, Tak Pernah Hilang.

Turut membuat persembahan pada acara itu adalah penyanyi baru Amir Hassan dan Indah Ruhaila sebagai penyanyi jemputan.

Disiarkan pada: September 7, 2018 @ 2:00pm
d