rap

Ramai nak jadi 'protege' Syafinaz

Oleh Georgie Joseph

PROGRAM realiti nyanyian Mentor musim ke-7 terus mendapat sambutan luar biasa apabila lebih 500 hadir uji bakat untuk menjadi protege Datuk Syafinaz Selamat di Sri Pentas, di Petaling Jaya, semalam dan hari ini.

Penerbit Eksekutifnya Muhamad Sufian Che Isa berkata, lebih menggembirakan rata-rata peserta yang hadir amat berkualiti sehingga produksi dan Syafinaz sendiri sukar membuat keputusan.

“Saya boleh katakan peserta tahun ini sangat berkualiti dan sukar untuk kami memilih tiga yang paling layak menjadi protege Syafinaz. Untuk peringkat terakhir, seramai 25 peserta kami senarai pendek untuk mendapatkan tiga peserta saja.

“Terus-terang, kami sangat gembira dengan kualiti peserta yang dihadiri rata-rata golongan muda berusia antara 20 hingga 24 tahun. Bahkan ada yang sanggup datang dari jauh seperti Johor, Kelantan, Terengganu, dan Sabah.

“Saya yakin tiga peserta pilihan Syafinaz itu kelak akan menjadi penanda aras yang cukup tinggi berdasarkan kualiti mereka,” katanya.

Muhamad Sufian turut mengakui sambutan itu sekali gus menepis dakwaan bahawa populariti program Mentor sudah berkurangan.

“Melihat kepada kegigihan peserta yang hadir membuktikan program ini masih dapat kepercayaan buat peserta di luar sana belajar menjadi penyanyi. Ramai mahu berguru dengan Syafinaz apalagi latar belakangnya yang sangat hebat.

“Saya juga yakin peserta yang akan hadir untuk uji bakat tiga mentor lain iaitu Aizat Amdan, Hafiz Suip dan Siti Nordiana pasti berkualiti.

“Selagi program ini masih dapat sokongan, kami akan terus menerbitkannya untuk memberi sumbangan kepada industri hiburan. Selain memberikan platform, program ini adalah untuk melahirkan penyanyi berkualiti dan bukan setakat popular,” katanya.

Uji bakat Mentor musim baru untuk seluruh Malaysia bermula semalam bagi mencari protege Syafinaz. Ia diikuti pencarian protege pada 15 dan 16 September untuk Hafiz (22 dan 23 September) dan Siti Nordiana (29 dan 30 September).

Disiarkan pada: September 9, 2018 @ 6:31pm
d