rap

Promosi gerila menjadi...

Oleh Amirul Haswendy Ashari

FILEM One Two Jaga arahan Nam Ron mula ditayangkan sejak 6 September lalu sudah mengutip hampir RM200,000 manakala lima pawagam tempatan sudah menghentikan tayangan dan satu pawagam di Kuching, Sarawak pula menambah tayangan.

Produser filem itu, Bront Palarae, 40, dihubungi Harian Metro, berkata pihaknya sudah melakukan segala yang terbaik termasuk mengadakan promosi secara 'gerila' di laman sosial terutama Twitter.

"Kempen pemasaran secara gerila dimulakan oleh filem Dukun dan kami cuma mengolah mengikut kemampuan.

"Ketidakselesaan segelintir netizen mungkin berlaku apabila ada segelintir peminat tegar seolah-olah mengguris hati peminat Hantu Kak Limah & Munafik 2," katanya.

Luahan Bront ini susulan wujud segelintir netizen mendakwa cara promosi filem One Two Jaga di laman sosial terutama Twitter menjengkelkan mereka.

Namun pihaknya sudah pun menyarankan peminat filem supaya lebih berhati-hati apabila memberi komen kerana pihaknya hanya ingin mengajak menonton bukannya menjatuhkan sesiapa.

Bront mendakwa mungkin peminat mereka berasa rugi jika filem ini tidak dapat ditonton masyarakat kerana filem itu tidak akan ditayangkan di stesyen televisyen mahu pun platform tempatan lain.

Dalam pada itu, hasil promosi berterusan di laman sosial itu, dia akui berlaku peningkatan jumlah tontonan berbanding beberapa hari lalu.

"Alhamdulillah, penerimaan semakin baik dari masyarakat dan ada peningkatan dari jumlah penonton berbanding dua hari pertama.

"Kami sangat berterima kasih kepada TGV Cinema yang banyak memberi sokongan dan sudi bekerjasama.

"Mereka sentiasa bersedia untuk menambah pawagam dan masa tayangan di lokasi yang mendapat sambutan," katanya.

Dia turut meluahkan ucapan terima kasih kepada pengarah Syamsul Yusof dan Mamat Khalid yang turut membantu memberi saranan kepada peminat filem mereka untuk menonton One Two Jaga.

Filem lakonan Zahiril Adzim, Rosdeen Suboh, Ario Bayu, Amerul Affendi, Azman Hassan dan ramai lagi mengisahkan kes salah laku segelintir anggota polis.

Disiarkan pada: September 11, 2018 @ 2:45pm
d