rap

'Bukan saya tulis, balas'

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENYANYI popular Ayda Jebat menyelar sikap tidak bertanggungjawab individu yang menyamar menjadi dirinya dengan mewujudkan akaun palsu di Instagram.

Ayda, 26, atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat berkata akaun palsu menggunakan nama aydajebat_muahciked itu cuba memperdayakan peminat dengan membalas setiap komen.

“Saya sudah sekat lama akaun ini. Cuma, saya baru dapat tahu akaun ini masih wujud dan muncul di beberapa ruangan komen.

“Tindakannya membalas komen peminat seolah-seolah dia adalah saya sesuatu yang tidak wajar. Tidak sepatutnya perkara ini berlaku kerana ia membuatkan peminat percaya.

“Bukan itu saja, pemilik akaun ini turut memuat naik gambar dan video Instagtam Story sama macam saya. Sedikit sebanyak mesti ada peminat yang terpedaya,” katanya kepada Harian Metro.

Disebabkan itu, Ayda menyeru peminat dan pengikutnya di lnstagram membuat laporan terhadap akaun itu.

“Kalau ramai yang buat laporan, akaun ini boleh dipadam Instagram. Saya tidak mahu disebabkan akaun ini timbul masalah lain. Zaman sekarang, macam-macam boleh berlaku.

“Apabila saya memuat naik perkara ini di IG Story, saya berharap peminat boleh faham dan sedar. Saya hanya ada satu akaun rasmi di IG dan kelab peminat. Selebihnya tidak berkaitan dengan saya,” katanya.

Disiarkan pada: September 11, 2018 @ 3:16pm
d