rap

Ketakutan Farmiga

Oleh Michelle Gun

Walaupun menerima banyak kritikan dan ulasan negatif di media sosial, The Nun tetap menjadi filem seram paling laris tahun ini.

Filem arahan Corin Hardy ini mencatat kutipan mencecah AS77.5 juta di seluruh dunia dan AS53.5 juta di Amerika Syarikat (AS). Ia sekali gus menjadi filem kesembilan terbaik di AS tahun ini.

Filem kelima francais Conjuring Universe ini mengetengahkan asal kemunculan iblis digelar Valak yang pernah muncul dalam The Conjuring 2 dan Annabelle.

Kejadian kehadiran iblis bertopengkan biarawati terbabit di dunia manusia berlaku sebelum kisah The Conjuring membabitkan pasangan penyiasat paranormal Ed dan Lorraine Warren.

Berlatarkan sebuah biara terpencil di Romania, filem terbitan Warner Bros ini memaparkan Sister Irene dan Father Burke diarahkan pihak Vatican untuk menyiasat punca kematian seorang biarawati muda.

Siapa sangka kematian dan kejadian misteri di biara itu berpunca daripada Valak yang dipercayai melepaskan diri dari dunianya ke alam manusia.

Walaupun segalanya cuma lakonan saja, pelakon Taissa Farmiga yang menjayakan watak Sister Irene mengakui rasa seram sejuk sepanjang penggambaran berlangsung.

Pengakuan itu mungkin dianggap pelik kerana Farmiga terkenal menerusi lakonannya dalam siri seram ngeri popular American Horror Story.

Dalam temu bual bersama HollywoodLife baru-baru ini, pelakon itu memberitahu takut dengan makhluk halus dan kegelapan.

“Setiap bahagian The Nun menakutkan saya. Malah, saya mungkin tidak akan tengok filem itu sampai habis,” katanya.

Apabila babak seram muncul, Farmiga berkata, dia akan menutup telinga dan mata dengan jarinya.

“Saya tidak suka makhluk halus dan gelap. Saya mahu kesucian dan cahaya sinaran, bukannya kejahatan,” katanya.

Secara kebetulan pula, kakak Farmiga, Vera pula pelakon utama siri The Conjuring dan membawa watak sebagai Lorraine Warren.

Menurut Farmiga, dia meminta nasihat daripada kakaknya mengenai persiapan serta maklumat berkaitan dunia Conjuring.

“Kami banyak bincang mengenai persiapan sebelum penggambaran mula. Vera memberitahu dia perlu membuat banyak kajian mengenai makhluk halus dan rasukan syaitan,” katanya.

Menurut pelakon berusia 24 tahun, persiapan wataknya memerlukan dia mencari maklumat mengenai biarawati dan kesucian dalam ajaran Kristian.

“Nasihat paling penting daripada kakak ialah jangan sesekali membawa pulang tugasan ke rumah sekiranya tidak mahu diganggu makhluk halus,” katanya.

Farmiga akan kembali ke kaca televisyen menerusi musim kelapan American Horror Story pada 12 September ini.

Manakala Vera akan meneruskan watak Lorraine dalam filem ketiga The Conjuring.

Video promosi dipadamkan YouTube

Turut membintangi dalam The Nun adalah Demian Bichir dan Charlotte Hope.

Bonnie Aarons pula kembali membawa watak sebagai Valak dan juga biarawati berwajah ngeri.

Sementara itu, video promosi The Nun dilaporkan dilaporkan dipadamkan dari YouTube berikutan aduan daripada penonton yang mendakwa klip terbabit terlampau seram.

Video berdurasi enam saat itu bermula dengan mengeluarkan bunyi diikut kemunculan mengejutkan biarawati ngeri sambil menjerit.

Disiarkan pada: September 12, 2018 @ 9:59am
d