rap

'Saiz tak boleh kecil dah'

Oleh Amirul Haswendy Ashari

PELAKON Najua Mohd Nasir, 32, atau Najua P Ramlee tidak mahu terlalu mengikut jejak rakan-rakan lain seperti Zalif Sidek dan Abam Bocey dengan menyahut cabaran menguruskan berat badan melalui 'Fat Challenge'.

"Bukan saya tidak mahu kerana saya pun terbabit dengan banyak aktiviti berat lain selain senaman.

"Saya boleh saja mahu kurus cuma 'rangka' saya mengikut arwah bapa (Nasir P Ramlee) dan datuk (Tan Sri P Ramlee) yang sememangnya besar, nak saya kecil bagaimana lagi?" katanya.

Cucu seniman agung itu akui tidak mahu mengambil sebarang produk makanan tambahan untuk menguruskan badan.

Katanya, biarlah tubuh badannya berubah sendiri sama ada mahu naik atau turun mengikut keselesaan dan kemampuannya.

Apatah lagi, dia percaya kepada rezeki dan bukan dengan memaksa diri untuk menguruskan badan semata-mata mahu mendapatkan tawaran berlakon.

"Saya bersyukur sedari dulu ada saja tawaran berlakon dan ia mungkin disebabkan saya tidak mengejar populariti.

"Saya hanya fikir ini adalah periuk nasi dan saya okey! Lagi pun, saya juga aktif dalam pementasan teater sejak dulu," katanya.

Biarpun tawaran melakonkan perwatakan tertentu di kaca televisyen atau filem lebih terarah kepada komedi dan agak terhad, dia tetap bersyukur kerana dapat bermain dengan pelbagai watak selain komedi di pentas teater.

Terbaru, Najua bakal muncul dalam drama bersiri komedi berjudul Budak Usin untuk siaran TV3 dan sebuah sitkom untuk siaran RTM.

Disiarkan pada: September 12, 2018 @ 3:13pm
d