rap

Tahniah Ella 'Rock Bro'!

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

PELAKON watak Ella dalam filem Rock Bro, Amy Ziana berkongsi kegembiraan bergelar ibu selepas melahirkan anak lelaki diberi nama Airol Ardani Airol Irwan.

Dia melahirkan anak sulungnya itu di sebuah hospital swasta di Kelantan pada 3 September lalu.

Amy, 30 atau nama sebenar Roziana Ali berkata, bayi dilahirkan secara pembedahan jam 12.03 tengahari dengan berat 3.5 kilogram, dianggap sebagai hadiah ulang tahun kelahirannya yang akan disambut pada 20 September ini.

“Alhamdulillah… pengalaman melahirkan anak memang agak perit. Tapi perit itu pun ada manisnya bila dah nampak muka bayi.

“Saya melahirkan Airol Ardani secara pembedahan caesarean kerana bukaan rahim yang terlalu lambat selepas air ketuban pecah.

“Saya memang tiada rasa sakit langsung apabila air ketuban pecah. Apabila sudah tahu sampai waktunya nak bersalin, saya terus ke hospital dan ditahan di wad,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Amy, doktor sering memantau perkembangannya dan selepas menunggu beberapa jam, bukaan rahim hanya dua sentimeter sahaja.

“Doktor kata sekiranya proses ini berlarutan selama 24 jam, saya kena jalani pembedahan. Ikutkan saya enggan buat pembedahan kerana orang kata ia menyakitkan.

“Apabila bukaan rahim masih tak berganjak, saya dipaksa makan ubat dan seterusnya dibawa ke bilik pembedahan.

“Saya tak sedar apa berlaku selepas itu dan apabila sedar dan buka mata, saya dengar suara bayi menangis dan sukar dibayangkan perasaan terharu ketika itu,” katanya.

Amy berkahwin dengan Airol Irwan Limin, 34, penceramah motivasi dan peguam pada awal tahun ini.

Dia akan aktif berlakon selepas habis menjalani tempoh berpantang.

Disiarkan pada: September 12, 2018 @ 6:17pm
d