rap

Harris Baba dapat anak kedua

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENYANYI Harris Baba seakan tidak percaya sudah menjadi bapa kepada dua anak dalam tempoh dua tahun perkahwinan dengan isteri, Nik Naziha Zawawi, 23.

Harris, 27, atau nama sebenarnya Khawaja Mohammad Harris Baba berkata, dia merancang untuk memiliki lima anak.

"Sekarang saya menjadi bapa kepada dua anak. Cepatnya masa berlalu. Macam tidak percaya pula. Apatah lagi, anak sulung perempuan, Aleena Ziya baru berusia setahun tujuh bulan.

"Sejujurnya, kami memang merancang untuk memiliki anak ramai dalam usia muda ini. Minimum saya nak lima anak.

"Apabila tua nanti anak pun sudah besar, jadi senang nak pergi mana-mana. Lagi satu, saya mahu memiliki keluarga besar," katanya kepada Harian Metro.

Penyanyi kelahiran Singapura ini berkongsi, isterinya selamat bersalin anak kedua lelaki, Muhammad Umar Baba pada 1 September lalu.

Harris yang popular menerusi lagu Katakan berkata, dalam keluarganya dia memiliki seorang adik perempuan yang kini berhijrah ke Australia.

"Saya datang daripada keluarga kecil. Jadi, apabila sudah berkahwin saya mahu anak ramai yang boleh menceriakan lagi suasana.

"Rezeki Allah SWT kita tidak pernah tahu. Saya bersyukur dan sangat gembira apabila diberikan seorang lagi cahaya mata," katanya.

Harris dan isteri berkahwin pada Mei 2016.

Disiarkan pada: September 13, 2018 @ 1:16pm
d