rap

'Alhamdulillah, keadaan anak sangat positif'

Oleh Norhayati Nordin

PENYANYI Lan Solo bertambah lega apabila anak keempatnya Nur Amna Quxandra, tujuh bulan menunjukkan pemulihan positif pada bibirnya.

Nur Amna Quxandra selamat menjalani pembedahan bibir sumbingnya di sebuah pusat perubatan Kuala Lumpur pada 31 Mei lalu.

Sebelum ini, bayi perempuan yang dilahirkan pada 24 Februari lalu disahkan doktor mengalami bibir sumbing.

Lan atau Mohd Razlan Mohamed Yusof, 33, ketika dihubungi berkata, pada masa ini dia dan isteri masih perlu memantau kesan pembedahan pada bibir anaknya itu.

“Penting untuk kesan bedah itu dipantau bagi memastikan tidak bengkak dan tiada rekahan di lelangit juga.

“Setakat ini, syukur Alhamdulillah pemulihan yang ditunjukkan anak saya sangat positif dan dia juga aktif seperti bayi lain seusianya.

“Nur Amna Quxandra sudah meniarap dan kalau dimasukkan dalam ‘walker’, lagi ligat dia berjalan. Malah, pantang nampak kelibat saya dan isteri, dia terus angkat dua tangan minta kami dukung. Seronok lihat dia gembira,” katanya.

Ditanya mengenai temu janji doktor, Lan memberitahu ia tidak boleh diabai dan perlu mengikut tarikh ditetapkan.

Selain Nur Amna Quxandra, Lan dan isteri, Sheila dikurniakan tiga anak iaitu Nur Amna Qaleesya, 8, Nur Amna Qeesyara, 6, dan Muhammad Akid Qassyaff, 4.

Mengulas mengenai single terbaru Berpisah Tanpa Rela yang dilihat ‘terpinggir’, Lan tidak menafikannya.

Katanya, lagu itu seolah-olah ‘terpinggir’ kerana tidak disiarkan oleh stesen radio popular kerana memerlukan undian pendengar.

“Bagi saya, teruskan usaha dan tidak mudah untuk berjaya. Dalam soal ini, saya akan terus mencuba.

“Apatah lagi, penerimaan pelayar di platform digital seperti YouTube agak menggalakkan untuk single Berpisah Tanpa Rela.

“Berdasarkan pemerhatian, muzik video lagu itu yang dimuat naik di YouTube sejak April lalu sudah mencecah lebih 500,000 tontonan,” katanya.

Katanya, apa yang pasti dia kini merancang mengadakan ‘Showcase Lan Solo Level Up’ pada awal November depan.

Disiarkan pada: September 14, 2018 @ 6:26pm
d