rap

'Betapa aku mencintaimu'...

Oleh Sudirman Mohd Tahir

“NAK taip ‘sweet-sweet’ tidak pandai. Setiap kali nak taip macam ada bawang sekeliling. Jadi, saya hanya tunjuk betapa aku mencintaimu,” luah penyanyi dan pelakon Alif Satar kepada isterinya, Shadila Halid, 34, sempena ulang tahun keempat perkahwinan mereka hari ini.

Alif, 28, atau nama sebenarnya Muhammad Alif Mohd Satar menerusi Instagram mengimbau kembali perasaan dilalui sebelum mereka bernikah.

Bagaimanapun Alif berkata, perasaan gementar itu bertukar tenang kerana dia mahu menghabiskan seluruh hidup dengan isterinya.

“Hari ini genap empat tahun kami bersama. Saya masih ingat, malam sebelum nikah perasaan gementar lain macam.

“Tetapi, bangun pagi pada hari nak bernikah, saya menjadi tenang sebab tahu saya akan menghabiskan seluruh hidup dengannya.

“Kasih dan cinta saya terhadapnya tidak terhingga,” katanya.

Sementara itu, Shadila menerusi Instagram turut berkongsi cerita sepanjang lapan tahun mengenali Alif.

“Kalau ikutkan sudah lapan tahun lapan bulan saya mengenali suami. Saya tidak pernah terfikir dia akan menyayangi saya ketika itu, apatah lagi memilih saya menjadi isterinya. Sedangkan saya hanya wanita biasa yang tidak ada apa-apa untuk ditawarkan berbanding kehidupan dan prinsip dirinya yang begitu positif.

“Dalam fikiran saya dia terlalu baik untuk merealisasikan semua ini. Tetapi sekarang saya tahu perancangan Allah sentiasa betul dan benar.

“Semua yang dilalui dalam kehidupan ini mempersiapkan saya untuk sesuatu yang lebih besar dan sudah tentu sebahagian daripadanya adalah untuk membawa saya kepadanya (Alif),” katanya.

Tulis Shahdila lagi, Alif individu yang layak mendapat sepenuh cinta dan kasih sayang.

“Anda adalah orang yang berhak dicintai selamanya kerana cahaya yang anda ada menyinari semua orang dan setiap masa.

“Anda adalah perkara terbaik yang pernah berlaku kepada saya,” katanya.

Alif dan Shahdila berkahwin pada 15 September 2014.

Mereka dikurniakan dua cahaya mata Alisha Anugerah, dua tahun dan Ariana Mecca yang kini berusia 10 bulan.

Disiarkan pada: September 15, 2018 @ 2:26pm
d