rap

Terkejut Pak Ngah!

Oleh Sudirman Mohd Tahir

KOMPOSER dan penulis lirik terkenal, Datuk Suhaimi Mohd Zain atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah tidak menjangka lagu ciptaannya, Putri Impian nyanyian penyanyi dangdut Indonesia, Nassar tercalon dalam kategori Lagu Dangdut Terpopuler pada Anugerah Dangdut Indonesia 2018 yang bakal berlangsung pada 12 Oktober ini.

Pak Ngah, 60, ketika dihubungi berkata lagu itu dicipta khas buat Nassar beberapa tahun lalu namun baru dilancarkan tahun lalu.

“Disebabkan ada masalah di pihak pengurusan syarikat rakaman Nassar, jadi lagu ini disimpan dulu. Selepas semua masalah selesai, barulah mereka ambil keputusan melancarkan lagi ini tahun lalu menerusi program D’Academy Asia di stesen TV, Indosiar di Jakarta.

“Sejujurnya, hingga sekarang saya sendiri tidak tahu adakah lagu ini mendapat tempat dalam kalangan masyarakat di sana.

“Namun, saya tidak pernah menjangka tercalon dalam kategori ini apatah lagi mendapat tempat untuk acara yang begitu berprestij yang mengangkat irama dangdut dan Melayu,” katanya kepada Harian Metro.

Pak Ngah yang berkolaborasi bersama Siso selaku penulis lirik menzahirkan rasa bangga apabila karyanya itu dicalonkan bersama sembilan lagi lagu lain.

“Walaupun beberapa lagu saya sudah mendapat tempat dalam program dangdut di sana menerusi lagu Cindai, Laksamana Raja Di Laut, Nirmala, Balqis, dan banyak lagi, tetapi tercalon dalam acara ini adalah sesuatu yang amat membanggakan apatah lagi kami yang memperjuangkan konsep lagu Melayu.

“Mungkin ramai tidak tahu, selain daripada lagu yang dinyanyikan artis Malaysia di sana, banyak juga lagu Melayu dinyanyikan penyanyi di sana yang meledak dengan lagu Melayu yang kita hasilkan.

“Antaranya, lagu Laksaman Raja Di Laut (Iyeth Bustami), Zapin Melayu (Lesti), Bidadari Jiwa (Danang) dan Bidadari nyanyian Kumpulan Bidadari,” katanya.

Selain lagu Pak Ngah, sembilan lagu lain yang tercalon adalah Doaku, Goyang 2 Jari, Lagi Syantik, Konco Rindu dan Madu Tuba.

Turut tercalon, Menuju Terang, Meraih Bintang, Purnama dan Sebelas Duabelas.

Anugerah Dangdut Indonesia 2018 bakal bersiaran secara langsung di saluran Indosiar jam 7 malam waktu Indonesia.

Disiarkan pada: September 15, 2018 @ 2:41pm
d