rap

'Terharu peminat titis air mata'

Oleh Najiy Jefri

PEMINAT Khai Bahar gagal menahan sebak hingga menitis air mata ketika penyanyi itu memberikan ucapan perpisahan pada majlis Khai Bahar Empire Outing di Impian Morib Resort, Morib.

Pada majlis yang diadakan selama dua hari sejak semalam, seramai 120 ahli kelab peminat Khai Bahar Empire (KBE) memeriahkan acara terbabit.

Khai berkata, dia amat terharu dengan sokongan peminat kerana mereka tidak pernah jemu meskipun ada antara mereka kerap bertemu dengannya.

“Saya bertuah kerana ada kelompok peminat yang sebegini. Bukan mudah untuk memiliki mereka yang tidak putus-putus menyokong kerjaya seni saya.

“Saya akui turut berasa sebak apabila ada peminat yang menitiskan air mata,” katanya.

Penyanyi yang popular menerusi lagu Bayang itu berkata, peminat adalah tulang belakang dan faktor yang menentukan jatuh bangun seseorang artis.

Katanya, peminat juga melakukan apa saja untuk artis kesayangan tanpa mengira wang ringgit dan tenaga.

Dalam pada itu, Khai yang juga finalis Anugerah Bintang Popular BH Ke-31 bagi kategori Penyanyi Popular turut menzahirkan penghargaan kepada media yang dianggap banyak membantu perkembangan kerjaya seninya.

“Media banyak berjasa sejak hari pertama saya bergelar artis. Mereka banyak mengajar saya mengenai liku-liku yang harus ditempuh dalam industri seni hiburan.

“Moga hubungan baik ini terus berkekalan sampai bila-bila,” katanya.

Disiarkan pada: September 16, 2018 @ 9:16pm
d