rap

Single tebal dengan emosi

Oleh Norhayati Nordin

Pengalaman Ajai dalam bidang muzik dan penciptaan lagu di negara ini terbukti hebat.

Sebagai antara komposer berkaliber semestinya karya sentuhan Ajai menjadi perhatian ramai.

Terbaru, Ajai menghasilkan single duet Percayakan Hati Kita nyanyian Hazama dan Noryn Aziz.

Berbicara mengenai single itu, Ajai berkata Percayakan Hati Kita adalah lagu runut bunyi (OST) untuk filem Kalla.

“Saya diminta Datuk Dr Suhaimi Ibrahim untuk menghasilkan OST filem terbitan produksinya, Little Film.

“Sebaik meneliti sinopsis filem Kalla, saya terus dapat ilham untuk melodi dan lirik lagu OST yang sesuai.

“Single Percayakan Hati Kita, saya cipta berdasarkan jalan cerita yang dimuatkan dalam sinopsis filem itu,” katanya.

Ajai berkata dia mendapati filem Kalla ada kelainan, malah jalan ceritanya menarik serta unik.

“Apa yang pasti, lagu OST Percayakan Hati Kita ini lebih menjurus kepada perasaan dan kasih sayang seseorang.

“Lagu ini dimuatkan dengan emosi yang tebal untuk menggambarkan perasaan kasih, rindu dan sayang dirasakan itu,” katanya.

Mengulas gandingan Hazama dan Noryn, Ajai berkata dia yakin dengan paduan vokal dua penyanyi terbabit.

“Dengan pengalaman mereka sebagai penyanyi dan pernah bekerjasama dengan saya, Hazama dan Noryn pilihan tepat.

“Saya yakin mereka mampu menyanyikan lagu Percayakan Hati Kita dengan baik dan takkan sesekali menghampakan pendengar,” katanya.

Setakat ini, Ajai sudah bekerjasama menghasilkan belasan lagu untuk OST filem terbitan produksi tempatan.

Ujarnya, dia sentiasa berusaha memberikan komitmen terbaik dalam setiap karya ciptaannya.

Disiarkan pada: September 17, 2018 @ 12:00pm
d