rap

Alif Satar mahu 'test power' di Ironman Langkawi 2018

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENYANYI dan pelakon Alif Satar menjadi artis pertama menyertai sukan Ironman Langkawi 2018 yang bakal berlangsung, November ini.

Alif, 28, atau nama sebenarnya Muhammad Alif Mohd Satar berkata, dia nekad menyertai acara itu selepas terbabit dalam Port Dickson International Triathlon 2018, baru-baru ini.

“Saya sudah mempersiapkan diri sejak setahun lalu. Apabila dapat menghabiskan disiplin ditetapkan pada Port Dickson International Triathlon 2018, saya yakin boleh buat perkara sama pada pertandingan lebih besar nanti.

“Ramai tanya tidakkah saya berasa takut. Tipu kalau kata tidak terutama ketika berenang di laut, tetapi saya perlu buang perasaan itu. Malah saya tahu nak kawal situasi.

“Untuk ke peringkat besar, ia bukan mudah. Saya perlukan lebih banyak latihan. Setiap minggu saya berlatih dua kali selama empat jam. Dalam masa sama, saya perlu banyak makan bagi mendapatkan tenaga,” katanya.

Menerusi acara yang bakal berlangsung itu, Alif perlu melakukan tiga disiplin iaitu berenang (1.9 kilometer), berbasikal (90 kilometer) dan berlari (21 kilometer).

“Insya-Allah, kalau berjaya pada acara ini, saya nak menyertai pula peringkat dunia. Ia memang menjadi impian dan sasaran saya selepas ini.

“Saya sudah membayangkan berlari ke garisan penamat dengan membawa Jalur Gemilang. Pasti ia sesuatu yang membanggakan untuk diri sendiri dan rakyat Malaysia,” katanya.

Dalam masa sama, Alif yang juga pengacara program realiti Big Stage berharap acara sebegitu mendapat sokongan daripada Kementerian Belia dan Sukan.

Selain itu, Alif kini melangkah dalam bidang perniagaan apabila melancarkan A Lifestyle Privilege Card menerusi syarikatnya A & A Premier Lifstyle Services.

“Ini adalah perniagaan pertama saya selepas 12 tahun terbabit dalam bidang seni. Saya berasa yakin untuk bekerjasama dengan rakan kongsi, Aniqi bagi melancarkan produk ini kerana ia lebih kepada gaya hidup.

“Ia bukan sekadar kad biasa, tetapi menawarkan pelbagai diskaun, perkhidmatan dan produk sesuai untuk kehidupan seharian,” katanya.

Disiarkan pada: September 17, 2018 @ 8:28pm
d