rap

DiCaprio aktif pulihara alam

Oleh Georgie Joseph

Aktor Leonardo DiCaprio nampaknya semakin serius menjalankan misi penjagaan dan pemuliharaan bumi serta meraikan penubuhan Leonardo DiCaprio Foundation (LDF) baru-baru ini.

DiCaprio, 43, turut menerima sokongan luar biasa rakan artis dan paling menarik berjaya mengumpul RM46 juta dalam majlis berkenaan. Hasil kutipan itu menjadikan dana LDF kini lebih RM414 juta.

Menurut pelakon Titanic itu, dia berbesar hati apabila LDF terus menjadi perhatian seluruh dunia.

“Apabila saya menubuhkan LDF 20 tahun lalu, ideanya ringkas saja iaitu mahu membawa perubahan dengan membiayai projek alam sekitar. Sama ada individu, pergerakan kecil hinggalah pertubuhan, semua kami bantu.

“Fokus kami adalah mencari dana kritikal untuk diberikan kepada sesiapa saja yang boleh meninggalkan impak besar,” katanya.

DiCaprio turut mengumumkan dana terbaru itu sangat bermakna dan puas apabila dapat merealisasikan banyak projek.

“Saya dengan sukacita mengumumkan RM46 juta yang dikumpul daripada enam program menjadikan dana LDF kini mencecah lebih RM414 juta.

“Kami sangat gembira dapat meraikan dua dekad penubuhan LDF. Sejak 1998 kami menyokong lebih 200 projek.

“Ia merangkumi semua tempat di dunia seperti pemulihan dan penjagaan habitat serta spesies, pembaharuan tenaga, perubahan iklim, hak orang asli dan banyak lagi,” katanya.

Acara penuh bermakna itu turut dihadiri aktor terkenal termasuk Edward Norton dan Mark Ruffalo. Pakar cimpanzi terkenal dunia, Jane Goodall tidak ketinggalan turut serta.

Majlis turut diserikan dengan persembahan vokalis band Coldplay, Chris Martin yang berjaya membuatkan hadirin terhibur. Penyanyi berkenaan membuat rendisi lagu My Heart Will Go On nyanyian asal Celine Dion dengan cara tersendiri.

DiCaprio kini bekerja rapat dengan pelakon peribumi dan konsultan yang terbabit dalam filem The Revenant untuk beberapa projek.

Terdahulu, dia berjaya menjulang trofi Aktor Terbaik di Oscar menerusi lakonannya dalam filem terbabit. Bahkan, dia turut menyentuh mengenai perubahan iklim dalam ucapannya sewaktu menerima trofi itu.

Selepas beberapa tahun berehat daripada dunia lakonan dan lebih banyak terbabit dengan kerja penerbitan, DiCaprio bakal tampil dengan filem berjudul Once Upon a Time in Hollywood arahan Quentin Tarantino tahun depan.

Disiarkan pada: September 18, 2018 @ 12:46pm
d