rap

Bakat Asia kembali dicari

Oleh Michelle Gun

Selepas menamatkan siaran Disember lalu, Asia’s Got Talent bakal kembali dengan musim ketiga bagi mencari bakat seni baru di rantau Asia. Program realiti terbitan Sony Pictures Television (SPT) Networks, Asia itu turut mengumumkan selebriti David Foster, Anggun dan Jay Park kembali sebagai juri.

Mereka kini berada di Singapura bagi penggambaran lima episod awal program itu.

Sesi uji bakat yang berlangsung pada Julai lalu menyaksikan lebih 150 persembahan menarik dari 17 negara di Asia disenarai pendek.

Mengulas tugasnya sebagai juri Asia’s Got Talent buat kali ketiga, Foster berkata Asia mempunyai ramai bakat baru yang perlu diterokai.

“Asia lokasi kegemaran saya untuk mencari bakat segar.

“Rantau ini kaya dengan kepelbagaian budaya menarik dan saya sentiasa teruja menyaksikan persembahan peserta,” katanya.

Pemenang Anugerah Grammy sebanyak 16 kali itu berkata peserta sudah mengetahui kehendak setiap juri.

“Peserta musim kali ini tahu apa yang saya, Anggun dan Jay mahu lihat. Jadi, tahap kehebatan peserta musim ini dijangka lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Park yang juga penyanyi dan usahawan memberitahu peserta musim lalu memberi banyak inspirasi kepadanya.

“Saya seronok menjadi juri tahun lalu dan ingin kembali menggalas tanggungjawab bersama David Foster dan Anggun,” katanya.

Asia’s Got Talent diangkat sebagai program mencari bakat terbesar dunia dan menampilkan persembahan aneka ragam daripada pelbagai peringkat usia serta latar belakang.

Setiap peserta perlu menambat hati juri menerusi persembahan paling kreatif dan unik bagi berebut hadiah juara bernilai AS$100,000.

Musim kedua Asia’s Got Talent menyaksikan ahli silap mata dari Indonesia, The Sacred Riana sebagai juara.

Pada musim itu, peserta dari 15 negara memeriahkan pentas program realiti terbabit yang ditonton lebih 310 juta kali di YouTube dan Facebook.

Program di bawah francais Got Talent itu dicipta oleh Simon Cowell dan tersenarai dalam Rekod Dunia Guinness sebagai Format Realiti Televisyen Paling Berjaya dalam sejarah.

Ia diterbitkan semula dalam 70 versi tempatan di Eropah, Asia Pasifik, Timur Tengah, Afrika dan Amerika Syarikat.

Di rantau ini, Asia’s Got Talent disaksikan lebih 126 juta isi rumah menerusi saluran AXN Asia.

Disiarkan pada: September 18, 2018 @ 1:35pm
d