rap

Khai kuat atas sokongan peminat

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Bertemakan ‘Together We Unite’ program hari keluarga kelab peminat penyanyi popular Khai Bahar iaitu Khai Bahar Empire Outing Days yang diadakan pada Sabtu dan Ahad lalu di Hotel Impian Morib, Banting berlangsung dengan jayanya.

Program dua hari satu malam itu menghimpunkan 120 peminat penyanyi lagu Luluh itu yang datang dari serata negeri termasuk Indonesia, Singapura dan Brunei.

Kesungguhan dan komitmen ditunjukkan ahli Khai Bahar Empire (KBE) pada program julung kali diadakan itu membuatkan Khai, 24, atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin terharu.

Menurut Khai, semangat dan sokongan daripada peminat menjadikan dirinya kuat untuk terus berjuang dalam industri muzik tanah air.

“Saya seronok setiap kali dapat menyertai apa sahaja aktiviti anjuran KBE. Saya cuba sedaya upaya melapangkan waktu. Malah, untuk program ini mereka minta saya kosongkan jadual saya sejak beberapa bulan lalu.

“Bagi saya, kalau mereka boleh beri komitmen untuk program ini, kenapa tidak saya? Jasa dan kesungguhan mereka sejak dulu sampai sekarang tidak terbalas. Saya bertuah kerana mempunyai peminat yang ‘sporting’ seperti mereka. Bukan mudah artis baru seperti saya untuk mendapat sokongan daripada peminat.

“Sebanyak mana mereka sayang saya, begitu juga perasaan saya terhadap mereka. Malah tidak akan berkurang pun. Apatah lagi, sebagai manusia sifat kasih sayang itu perlu. Saya mahu hubungan kekeluargaan dalam KBE sentiasa dijaga,” katanya.

Khai bersyukur kerana memiliki kelompok peminat yang sentiasa bersikap positif dalam apa juga perkara.

Malah, Khai mengakui perkara itu adalah kunci kejayaan buat dirinya dan peminat tanpa perlu wujud sedikit pun aura negatif.

“Dalam bidang ini, diakui ada yang suka dan tidak. Bagi saya, ia mudah sahaja iaitu kita perlu positif. Kita tidak boleh paksa orang sukakan kita. Mereka punya hak untuk buat apa sahaja. Disebabkan itu, saya selalu pesan kepada peminat terutama dalam KBE supaya sentiasa positif dan tanam nilai kasih sayang.

“Biar orang nak mengata kita, asalkan bukan daripada kita. Saya jenis yang malas dan tidak suka ambil tahu perkara negatif ditimbulkan pihak lain. Apa yang penting, kita tahu apa dilakukan. Saya percaya, sikap positif ditunjukkan boleh mengubah persepsi seseorang,” katanya.

Pada masa sama, Khai turut berpesan kepada peminat agar tidak mudah melatah dengan apa juga laporan di media massa.

Khai mengajak peminat untuk membaca isi kandungan berita itu terlebih dahulu tanpa perlu menghakimi tajuk diberikan.

“Ini perkara biasa berlaku. Cuma, saya selalu pesan baca dulu isi kandungan berita itu. Ada sebab pihak media menggunakan tajuk berkenaan. Saya tidak mahu peminat menyalahkan media sesuka hati.

“Dalam setiap kejayaan dicapai, media antara pihak yang banyak membantu saya. Sedikit sebanyak, sokongan diberikan rakan media antara sebab saya berada pada tahap sekarang. Jadi, peminat perlu terbuka terima apa juga kritikan. Mana yang baik dijadikan teladan, yang buruk kita sama-sama perbetulkan,” katanya.

Paling penting, Khai yang tercalon dalam kategori Penyanyi Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular ke-31 mahu peminat dan orang sekeliling sentiasa menegur kelemahan dirinya.

“Kalau saya ada buat salah atau apa dilakukan tidak sesuai, silalah tegur saya. Saya manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Namun, biarlah ia teguran membina.

“Saya harap perangai nakal saya ini tidak membuatkan peminat terasa hati. Terimalah saya seadanya,” katanya.

Mengenai program KBE Outing Days, Khai mahu program itu diteruskan lagi dan dijadikan acara tahunan bagi mengeratkan lagi silaturahim antara mereka.

Menariknya, pada program itu Khai tidak terkecuali untuk terbabit dalam setiap aktiviti. Antaranya sesi karaoke, parodi dan sukan rakyat.

Disiarkan pada: September 18, 2018 @ 3:00pm
d