rap

'Tak sangka sama sekali'

Oleh Rudy Imran Shamsudin

Sebaik menjejakkan kaki dalam dunia seni, instafamous Mohamad Faizal Ahmad atau menyimpan impian menjadi pelakon dengan menjadikan laman sosial Instagram dan YouTube sebagai gelanggang melatih diri.

Laman sosial membuatkan namanya dikenali dan memiliki jutaan pengikut. Malah klip video yang diarah, diterbit dan dilakonkan sendiri dimuat naik di laman sosial miliknya mencecah lebih sejuta tontonan.

Bagaimanapun, Jaa yang turut menjadi penyampai radio pada hujung minggu berasakan ia bukanlah landasan yang betul, apatah lagi apa yang dipersembahkan dalam laman sosialnya itu bukan lakonan sebenar dan hanya perodi ringan.

“Tidak dinafikan apa yang dilakukan di laman sosial menjadi pembuka jalan tetapi saya mahu berlakon secara serius dan jadikan ia salah satu cabang kerjaya,” katanya.

Pernah tampil dalam filem Busker sebagai cameo, kata Jaa apa yang diimpikan menjadi kenyataan apabila dia ditawarkan membintangi drama triler seram, Korban Penunggu Hospital.

“Saya baru saja selesai menjalani penggambaran drama Korban Penunggu Hospital dan sebagai orang baru ternyata ia sangat mencabar,” katanya.

Berkongsi pengalaman menjayakan telefilem yang turut menampilkan Kodi Rasheed, Aprena Manrose, Fatin Afeefa dan Andi Bernadee itu, Jaa bertuah kerana rakan pelakon banyak membantunya sepanjang penggambaran.

“Melakonkan watak Syakir yang berdepan dengan wanita pengamal ilmu sihir dan perlu berbunuhan sesama sendiri adalah satu cabaran besar.

“Sebagai orang baru, saya tidak sangka sama sekali akan diberikan watak penting dan besar dari sudut permainan emosinya.

“Jujur, apabila menerima tawaran ini saya jadi takut dan tidak yakin langsung. Hendak tolak, masalahnya takut peluang keemasan ini tidak akan saya dapat lagi,” katanya.

Rasa bimbang kian bertambah apabila dia tidak pernah bekerja dengan barisan pelakon lain kecuali Aprena Manrose.

“Saya kenal Aprena pun kerana beberapa projek untuk terbitan laman sosial. Tidak pernah kami berlakon bersama dalam drama mahupun filem,” katanya

Mujur, sewaktu sesi perbincangan dan bacaan skrip, Jaa berpeluang bertemu dengan semua pelakon telefilem itu dan ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan keresahannya.

“Kalau peminat perasan saya ada muat naik gambar bersama semua pelakon Korban Penunggu Hospital dan berterima kasih kepada mereka kerana banyak membantu saya. Mereka sudah ada nama tetapi langsung tidak sombong dengan orang baru seperti saya.

“Bayangkan saya orang baru dan bukan siapa-siapa tetapi untuk memastikan apa yang kami persembahkan ini benar-benar hidup, mereka saling membantu.

“Kodi misalnya, ramai tahu dia pelakon terbaik dan penah menang anugerah. Sewaktu sesi bacaan skrip, saya minta dia mengajar dan membimbing saya,” katanya.

Jaa juga terbuka menerima nasihat membina daripada penonton apabila karya itu ditayangkan kelak agar dapat memperbaiki corak lakonan pada masa akan datang.

Malah, dia perlu mempersiapkan diri sebelum masuk ke set penggambaran filem Kejar dan memegang watak utama.

Disiarkan pada: September 19, 2018 @ 12:09pm
d