rap

'Nampak orang jual... maklum terus pada saya'

Oleh Ardini Sophia Sina

PELAKON dan pelawak, Datuk Afdlin Shauki Aksan kecewa dan kesal selepas mendapati beberapa komponen motosikal jenama Ducati miliknya dicuri, pagi ini.

Kata Afdlin, dia hanya menyedari perkara itu pada 2 pagi selepas dimaklumkan oleh seorang rakan menerusi aplikasi Whatsapp dan terus membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju.

“Motosikal itu, saya parkir depan pejabat. Tapi, tak sangka pula ada ‘orang’ yang berminat dengan beberapa komponennya.

“Sebaik saja menerima Whatsapp dari seorang rakan, saya terus memeriksa dan mendapati klac, brek brembo dan cermin sisi Ducati Diavel sudah hilang.

“Saya mohon, sesiapa yang ternampak individu menjual komponen berkenaan sila maklumkan terus kepada saya,” katanya.

Tambahnya lagi, dia bernasib baik kerana kejadian itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) itu dan memudahkannya untuk pihak polis menangkap pencuri terbabit.


Menerusi kapsyen dalam Instagram, Afdlin turut berterima kasih kepada pihak polis yang membantunya sepanjang proses membuat laporan mengenai kes kehilangan komponen motosikalnya.

“Terima kasih kepada pengawai Balai Polis Wangsa Maju kerana bekerja dengan tekun dan membantu menyelesaikan masalah,” tulisnya dalam Instagram.

Disiarkan pada: September 19, 2018 @ 9:05pm
d