rap

Afgan nak buat konsert di KL lagi

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PENYANYI dari Indonesia, Afgan, sekali lagi akan hadir ke Malaysia untuk mengadakan Konsert Dekade Live in Kuala Lumpur 2018 yang akan berlangsung pada 3 November ini di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Ketua Pegawai Eksekutif Nizra Production, Nik Iruwan Nik Izani selaku penganjur berkata, konsert itu juga adalah bersempena 10 tahun Afgan bergelar penyanyi.

"Tahun ini, genap 10 tahun Afgan terbabit dalam industri seni. Dia juga sudah memenangi pelbagai anugerah besar. Jadi, konsert ini adalah sebagai tanda terima kasih buat peminat-peminatnya di Malaysia," katanya kepada Harian Metro.

Tambah Iruwan, pihaknya mensasarkan jualan tiket yang menggalakkan daripada peminat.

"Melihatkan jumlah peminatnya di Malaysia yang sangat ramai, kami yakin tiket Konsert Dekade Live in Kuala Lumpur 2018 akan habis dijual," katanya.

Selain Afgan, konsert berdurasi dua jam ini juga menampilkan Ruffedge sebagai artis jemputan.

Tiket Konsert Dekade Live in Kuala Lumpur 2018 akan mula dijual esok dan harga-harga tiket adalah RM288 untuk kelas Silver, RM588 (Gold), RM888 (Platinum) dan RM1288 (Diamond VVIP).

Pembeli tiket kelas Diamond VVIP akan berpeluang bertemu dengan Afgan di sesi ramah mesra di samping menerima album Dekade lengkap dengan tanda tangan.

Disiarkan pada: September 20, 2018 @ 5:23pm
d