rap

'Semoga Elfira bahagia'

Oleh Rudy Imran Shamsudin

“SEBAGAI orang yang pernah mengenali Elfira, saya mendoakan segala apa yang dirancang dipermudahkan,” kata penyanyi popular Sufian Suhaimi mengenai bekas tunangnya yang juga pelakon, Elfira Loy yang dikatakan sudah melangsungkan pertunangan, baru-baru ini.

Sufian berkata, dia tidak terkejut dengan perkara itu, sebaliknya tumpang gembira kerana apa yang dilakukan Elfira dan tunangnya adalah perkara baik.

Menurut Sufian, dia mengetahui mengenai perkara itu selepas gambar terbabit tersebar sebelum ini.

Ditanya mengenai dirinya yang masih solo selepas putus tunang dengan Elfira, Sufian berkata, buat masa ini dia belum bertemu pengganti seperti yang heboh diperkatakan sebelum ini.

“Sepanjang tahun ini jadual kerja saya agak padat. Jadi, untuk memberi komitmen kepada hal peribadi seperti hubungan cinta belum masanya lagi,” katanya.

Secara jujur, penyanyi yang kini popular dengan lagu Di Matamu ini tidak pernah menutup pintu hatinya untuk bercinta dengan wanita lain.

“Buat masa sekarang ini saya tidak mencari, tapi tidak juga menutup pintu hati untuk orang lain. Saya serahkan saja jodoh kepada ketentuan-Nya,” katanya.

Disiarkan pada: September 25, 2018 @ 2:32pm
d