rap

Tidak langgar batas

Oleh Najiy Jefri

Selepas tampil dengan filem seram Puaka Tebing Biru pada 2007, pengarah Osman Ali sekali lagi mengetengahkan karya genre serupa berjudul Langsuir.

Mengangkat kisah mitos popular ke layar lebar, Osman dilihat begitu teliti dalam penghasilan filem ini apabila mengkaji kisah rakyat itu dengan begitu mendalam.

Kata Osman, sebelum memulakan penggambaran, dia banyak membuat kajian bagi memastikan segala maklumat mengenai langsuir tepat dan tidak melanggar batas.

“Saya banyak bertanya kepada orang tua mengenai langsuir supaya kisah mistik ini tidak dianggap pelik.

“Saya juga bersyukur apabila filem ini hanya melalui tiga kali proses tapisan daripada Lembaga Penapisan Filem (LPF).

“Meskipun ada babak yang dibuang, tetapi ia tidak menjejaskan keseluruhan jalan cerita filem ini,” katanya.

Bagi menampilkan kelainan, Osman mempertaruhkan wajah baru yang mewarnai filem arahannya iaitu Syafiq Kyle dan Hannah Delisha yang kali pertama beraksi di layar lebar.

Kata Osman, Syafiq dan Hannah memiliki aura tersendiri untuk menarik penonton ke pawagam.

“Kami tidak pernah bekerjasama, malah Langsuir juga adalah filem pertama mereka. Bagaimanapun saya pernah melihat drama lakonan mereka dan ternyata mereka mempunyai keserasian yang baik.

“Malah ketika sesi uji bakat mereka mempamerkan gaya lakonan meyakinkan dan saya tidak salah pilih pelakon,” katanya.

Siapa sangka, baru empat hari ditayangkan, filem terbitan Nuansa dan Guam Teamwork itu berjaya meraih kutipan RM1 juta.

Meskipun wujud persaingan dengan karya tempatan dan antarabangsa, ia bagaimanapun tidak menjejaskan sokongan penonton untuk ke pawagam.

“Alhamdulillah. Saya bersyukur terutama dalam keadaan terdapat beberapa filem hebat lain seperti Munafik 2 turut ditayangkan di pawagam. Tidak dinafikan awalnya saya berasa bimbang tetapi lega peminat tetap memberi sokongan dan diharapkan ia akan berterusan,” katanya.

Bagi Hannah yang membawakan watak langsuir, dia mengaku banyak cabaran terpaksa dilalui sepanjang tempoh penggambaran di Pulau Langsuir, Kedah sekitar tahun lalu.

“Cabaran paling besar adalah bekerja untuk tempoh masa yang agak lama. Kebanyakan latar waktu dalam filem ini adalah malam hari. Jadi kami perlu berada di Pulau Langsuir jam 6 petang hingga jam 9 pagi keesokan harinya,” katanya.

Ditanya adakah kejadian aneh berlaku kepadanya sepanjang 25 hari menjadi hantu, Hannah berkata, dia ada mengalami sedikit gangguan tetapi tidak menjejaskan prestasi kerjanya ketika itu.

“Alhamdulillah, saya tidak diganggu sepanjang proses penggambaran. Cuma, ketika sedang menjayakan satu babak di pondok, abang Osman yang berada di kedudukan agak jauh bertanya siapakah yang menggoyangkan salah satu kayu di belakang saya.

“Ketika itu, saya jawab tiada siapa yang menggoyangkan kayu berkenaan. Meskipun takut dan berdebar tetapi saya tidak hiraukan dan teruskan penggambaran,” katanya.

Beralih watak Azlan yang dibawakan Syafiq Kyle, dia bersyukur apabila impian untuk membintangi filem tercapai dan diharapkan akan terus diberi peluang pada masa akan datang.

“Sewaktu saya mula-mula berlakon drama, ada individu yang berpengaruh dalam bidang seni pernah minta saya berhenti berlakon dan bekerja sebagai kru belakang tabir. Namun, saya tidak hiraukan saranan individu berkenaan dan teruskan kerjaya lakonan.

“Baru-baru ini, individu sama datang kepada saya dan memuji lakonan saya. Jadi, jika ada yang berkata saya tidak sesuai berlakon filem, saya akan ulangi apa yang saya buat dulu iaitu teruskan apa yang dimahukan,” katanya.

Filem Langsuir sudah menemui penonton sejak 20 September lalu.

Disiarkan pada: September 26, 2018 @ 1:59pm
d