rap

'Kontroversi pun takpe'

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENERBIT dram Fadzil Teh menyifatkan kontroversi perlu ada bagi seseorang pelakon untuk melariskan sesebuah karya.

Fadzil, 54, atau nama sebenarnya Md Fadzil Teh berkata, perkara itu sedikit-sebanyak membolehkan penonton menyaksikan drama terbabit.

“Sejujurnya saya tidak ada masalah bekerjasama dengan pelakon yang ada kontroversi. Malah, saya okay jika sepanjang penggambaran atau drama ditayangkan mereka buat kontroversi.

“Bagi saya, setiap penerbit ada strategi masing-masing untuk karya mereka. Bagi saya, kontroversi membantu meningkatkan ‘rating’ penonton.

“Kalau kebetulan pelakon ada kontroversi berlakon dalam drama itu, saya percaya peminat mahu menontonnya. Namun, dalam perkara ini ada pro dan kontra. Ia bergantung kepada nasib juga,” katanya.

Fadzil berkata, menerusi drama Lelaki Kiriman Tuhan terbitan Zeel Productions Sdn Bhd yang bakal bersiaran 1 Oktober ini, ia menampilkan pelakon Mira Filzah dan Remy Ishak.

Selain popular, Mira dan Remy juga mempunyai cerita peribadi tersendiri untuk dikongsi kepada khalayak.

“Mereka berbakat besar, malah populariti dimiliki bagus untuk drama ini. Dalam masa sama, kita tahu mereka ada nilai dari segi kisah peribadi yang boleh dijual kepada pembaca. Pendek kata, gandingan mereka lengkap.

“Namun, saya tidak mahu menggunakan kesempatan itu untuk melariskan drama ini. Ia terpulang kepada penonton. Saya yakin, jalan cerita ini menarik dan mampu menambat hati penonton,” katanya.

Selain Mira dan Remy, drama itu turut menampilkan Rozita Che Wan, Kartina Aziz, PU Azman, PU Riz, Jasmin Hamid, Maria Farida dan ramai lagi.

Turut diperkenalkan bintang baru Uyaina Arshad iaitu bekas pengacara Nona, Ariana AF, Ali Redza, Hanis Nabeela dan Farah Safwan.

Disiarkan pada: September 26, 2018 @ 5:12pm
d