rap

'Zain tak mau Aaisyah jadi artis'

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PELAKON Zain Saidin tidak mahu anaknya, Aaisyah Dhia Rana, 4, mengikut jejak langkah dia dan isterinya, Rozita Che Wan menjadi artis walaupun Aaisyah sudah menunjukkan minat dalam bidang lakonan dan nyanyian.

Rozita yang juga dikenali sebagai Che Ta berkata, suaminya itu juga tidak suka dia mewujudkan akaun Instagram Aaisyah seperti anak kebanyakan selebriti lain.

“Seboleh-bolehnya Zain tidak mahu Aaisyah menjadi artis dan didedahkan dengan dunia hiburan. Malah, Zain bising jika saya bawa Aisyah ke majlis hiburan hingga balik lewat malam. Ini kerana dia tidak mahu anak ponteng sekolah.

"Cuma, jika ada tawaran Aaisyah berlakon dengan saya, kami okay. Kalau hanya dia seorang kami tak akan ambil,” katanya.

Che Ta berkata, Aaisyah kini mula menunjukkan minat dalam bidang seni dan suka menyanyi serta berlakon.

"Sejak usia tiga tahun lagi Aaisyah suka menyanyi dan berlakon. Kalau dia duduk saja, kita boleh dengar dia menyanyi seorang diri.

"Lagu yang dinyanyikan pula lagu orang dewasa. Lagu berkenaan dia dengar di radio. Malah, lagu Keke Challenge pun dia tahu.

"Kalau depan cermin pula dia suka berangan jadi pelakon. Pendek kata, dia berjiwa orang dewasa dan ikut seperti saya," katanya.

Sementara itu, Che Ta bakal muncul dalam drama Lelaki Kiriman Tuhan yang mula bersiaran Isnin ini jam 9 malam di saluran Astro Oasis.

Turut berlakon dalam drama arahan Rashid Sibir itu ialah Remy Ishak, Mira Filzah, Kartina Aziz, Jasmin Hamid, Datuk Jalaluddin Hassan dan ramai lagi.

Disiarkan pada: September 28, 2018 @ 2:56pm
d