rap

10 ciptaan unggul Pak Ngah

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Itu perumpamaan yang layak diberikan kepada komposer dan penulis lirik terkenal, Datuk Suhaimi Mohd Zain atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah yang meninggal dunia Selasa lalu.

Allahyarham yang turut mendapat jolokan Bapa Irama Malaysia begitu sinonim sebagai komposer lagu berentak tradisional dan etnik.

Karyanya bukan saja dialunkan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza tetapi juga penyanyi irama tradisional dan etnik lain termasuk Noraniza Idris, Syura dan Zehra Zambri.

Lagu seperti Cindai, Balqis, Ya Maulai, Hati Kama (duet Siti dengan Noraniza Idris) dan Nirmala antara senarai lagu ciptaan Pak Ngah untuk Siti yang begitu mendapat tempat di hati peminat.

Sebagai mengenang hilangnya sebutir lagi bintang, Bling! minggu ini menyenaraikan 10 lagu ciptaan Pak Ngah nyanyian 10 penyanyi.

Nostalgia Aidilfitri (Allahyarham Datuk Sharifah Aini)

Ramai tidak tahu, Pak Ngah sebenarnya sudah popular menerusi lagu raya iaitu Nostalgia Aidilfitri nyanyian Allahyarham Datuk Sharifah Aini. Namun, ketika itu nama Pak Ngah belum dikenali ramai.

Lagu yang dihasilkan pada 1993 itu dimuatkan dalam album Pilihan Klasik Aidilfitri Sharifah Aini.

Ala Dondang (Noraniza Idris)

Album Ala Dondang nyanyian Noraniza Idris pada 1997 menaikkan nama Pak Ngah dengan menghasilkan lagu berentak tradisional dan etnik kreatif.

Menerusi album ini, Ala Dondang diiktiraf sebagai Album Pop Etnik Terbaik pada Anugerah Industri Muzik 1998 dan sekali gus tercalon untuk Album Terbaik pada anugerah itu.

Magis Pak Ngah sebagai penerbit diteruskan menerusi album Masyhur yang turut menampilkan lagu ciptaan Pak Ngah iaitu Dikir Putri dan Dondang Dendang.

Pak Ngah turut terbabit dalam pembikinan album Bekaba dan Seri Belas (album duet bersama Siti).

Cindai (Datuk Seri Siti Nurhaliza)

Lagu Cindai yang dimuatkan dalam album Cindai dianggap ‘masterpiece’ Pak Ngah untuk lagu irama Malaysia nyanyian Siti.

Cindai adalah album studio ketiga Siti dan juga percubaan pertama Siti dalam menghasilkan album berentak irama Malaysia.

Menerusi lagu dan album Cindai, ia mendapat pengiktirafan lima platinum pada 2000 atas penjualan melebihi 250,000 unit serta memenangi banyak anugerah muzik.

Lagu ini turut dinobatkan sebagai Juara Lagu pada Anugerah Juara Lagu 1998.

Selain Cindai, Pak Ngah turut bertindak selaku penerbit dan komposer dalam album Sahmura, Sanggar Mustika dan Lentera Timur.

Nazam Berkasih (Syura)

Lagu Nazam Berkasih ini berjaya menaikkan nama Syura hingga melayakkannya melangkah ke pentas Anugerah Juara Lagu ke-19.

Lagu ini dimuatkan dalam album kelima Syura iaitu Balaghah yang Pak Ngah turut bertindak selaku penerbit bersama S Atan, Yasin Sulaiman dan Eddie Hamid.

Pak Ngah juga terbabit dalam album Syahda Berdendang (2006) menerusi lagu Candak yang turut membawa Syura ke AJL 21.

Laksamana Raja Di Laut (Iyeth Bustami)

Lagu ini berjaya menaikkan nama penyanyi Indonesia, Iyeth Bustami. Namun lagu ini juga menimbulkan kontroversi berpanjangan antara Iyeth dengan pemuzik Riau iaitu Nurham Yahya yang dikatakan pencipta asal lagu ini hingga membawa kepada kes mahkamah.

Pada 2005, Iyeth dalam satu temu bual di Indonesia menegaskan pencipta asal lagu itu adalah Pak Ngah.

Lagu itu pula asalnya daripada lagu Nostalgia Aidilfitri yang dipopularkan Sharifah Aini. Seiring dengan peredaran waktu, lagu itu dibawa ke Riau dan akhirnya berubah judulnya Laksamana Raja di Laut.

Lagu ini juga dinyanyikan Datuk M Daud Kilau dan dimuatkan dalam album Cek Mek Molek.

Semalakama (Zehra Zambri)

Lagu ini berjaya menaikkan nama Zehra Zambri hingga ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-21.

Ia turut dimuatkan dalam album pertama Zehra pada 2005 iaitu Zehra Zambri di samping tiga lagu pop lain.

Menariknya, lagu Semalakama dirakam ketika dia berusia 18 tahun sekali gus memperkenalkan Zehra sebagai penyanyi irama Malaysia.

Zapin Suri (Haziq Rosebi)

Haziq antara bekas bintang Akademi Fantasia yang memperjuangkan lagu tradisional dan irama Malaysia.

Proses pembikinan album ini dijalankan dengan penuh teliti bermula pada 2007 dan berjaya dilancarkan pada 2009.

Album ini memuatkan pelbagai irama tradisional yang mampu mencuri perhatian seperti joget, zapin dan gurindam.

Pesona suaranya yang lunak tidak dinafikan berupaya membangkitkan nostalgia apatah lagi album ini mendapat sentuhan daripada nama tersohor dalam lapangan seni seperti Pak Ngah, Sham Kamikaze, S Atan dan Arab demi memberi kekuatan kepada Zapin Suri.

Ewah Ewah (Wany Hasrita)

Wany Hasrita cukup bertuah apabila dapat bekerjasama dengan Pak Ngah menerusi single Ewah Ewah yang dilancarkan tahun ini.

Biarpun lagu ini mencatat jutaan penonton di laman YouTube, namun Ewah Ewah tidak dimainkan di stesen radio popular tanah air.

Namun, lagu ini berjaya menyerlahkan kemampuan Wany sebagai penyanyi ‘versatile’ yang boleh menyanyikan lagu irama Malaysia dengan baik.

Bahaduri (Syazliana)

Lagu tradisional seperti Joget Langkah Delapan, Bahaduri dan Cinta Laila nyanyian penyanyi baru Syazliana mendapat perhatian peminat.

Malah lagu tradisional itu yang lebih popular berbanding lagu pop walaupun albumnya lebih banyak memuatkan lagu pop.

Syazliana juga penyanyi muda yang digilap bakatnya oleh Pak Ngah dalam menyanyikan lagu irama Malaysia.

Menerusi album Sinar Baru (2004) ia diterbitkan Pak Ngah Production Sdn Bhd.

Keranamu Malaysia

Selain dikenali dengan lagu irama Malaysia, Pak Ngah juga antara komposer yang banyak menghasilkan lagu patriotik.

Antaranya, lagu Keranamu Malaysia yang dijadikan lagu rasmi Hari Kebangsaan dari 2000 hingga 2006.

Keranamu Malaysia adalah sebuah lagu patriotik yang boleh menyemarakkan kebanggaan rakyat terhadap kemakmuran dan kesejahteraan di negara ini. Dengan melodi yang ringkas dan lirik oleh Siso yang mudah diingati, Keranamu Malaysia memiliki ciri-ciri lagu popular semasa.

Gabungan kedua-dua mereka memberikan hasil yang membanggakan terhadap Keranamu Malaysia.

Disiarkan pada: September 29, 2018 @ 4:50am
d