rap

Nana pening pilih protege

Oleh Sudirman Mohd Tahir

LEBIH 500 menghadiri sesi uji bakat program realiti Mentor 7 membabitkan penyanyi Siti Nordiana yang diadakan sejak semalam dan hari ini di Sri Pentas, Bandar Utama.

Siti Nordiana, 34, atau lebih mesra disapa Nana berkata, setakat 3 petang tadi dia sudah menyenarai pendekkan 17 peserta.

“Sepanjang dua hari ini, baik lelaki mahu pun perempuan, kebanyakan mereka boleh menyanyi dengan bagus. Jadi, pening kepala dibuatnya untuk pilih yang betul-betul layak menjadi protege.

“Sejujurnya, saya tidak menjangka ramai yang berbakat di luar sana dan ada identiti sendiri. Memandangkan saya jaga di peringkat kedua, jadi yang layak ke peringkat ini selepas melalui proses pemilihan awal.

“Apa boleh dikatakan mereka buka mulut saja, saya memang teruja. Masing-masing ada potensi. Jadi, mereka yang terpilih ke peringkat ketiga dan ‘battle’ nanti tidak boleh buat silap,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Nana, dia juga berasa bangga kerana ada peserta datang dari Sabah, Terengganu dan Kedah untuk menghadiri uji bakat kendaliannya.

Malah, Nana yang juga pelakon Klik! Pengantin Musim Salju berkongsi ada yang hadir semata-mata untuk bertemu dengannya.

“Tidak dinafikan ramai juga yang nyanyi biasa-biasa saja. Malah, mereka hanya nak datang berjumpa saya. Siap cakap, tidak dapat pun tak mengapa asalkan boleh jumpa saya depan-depan.

“Saya terharu dengan kesungguhan mereka termasuklah mereka yang beratur seawal jam 3 pagi. Namun, memandangkan ini pertandingan, jadi saya kena serius,” katanya.

Selain Nana, tiga mentor lain yang terpilih adalah Datuk Syafinaz, Hafiz Suip dan Aizat Amdan.

Sesi uji bakat juga turut dijalankan di Kota Kinabalu, Sabah pada 18 hingga 19 Ogos lalu.

Program yang pernah menjulang nama Pija, Fiq, Black Hanifah, Mohd, Salma dan Puteri Caroline itu bakal bersiaran di TV3 hujung bulan ini.

Disiarkan pada: September 30, 2018 @ 6:26pm
d