rap

Eksperimen Fee

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Penyanyi perlu ada identiti sendiri untuk dikenali. Ia penting supaya tidak dilabel sebagai artis klon atau meniru artis lain.

Bagi Fee Haiqal, dia berpegang kepada prinsipnya yang berani untuk menongkah arus ‘trend’ muzik hari ini.

Ketika penyanyi lain meletakkan lagu berentak balada atau pop rock yang terarah kepada rentak 1990-an, Fee dengan berani mempertaruhkan karya di luar kelaziman.

“Single terbaru saya berjudul Matahari adalah genre gabungan bossa jazz dan pop. Saya tahu melodinya tersasar daripada trend muzik tempatan hari ini, namun tak mengapa,” katanya.

Menurut penyanyi berusia 25 tahun ini, dia tahu risiko yang bakal dihadapinya.

“Ada yang bertanya, kenapa tidak hasilkan lagu seperti lagu lain yang menjadi trend hari ini. Jawapan saya mudah. Kita semua sedia maklum trend muzik dunia itu berputar dan tidak selamanya, satu genre itu kekal berada di atas.

“Mungkin satu hari nanti, genre lain pula yang kembali mendapat tempat di hati pendengar muzik,” katanya.

Menurut Fee atau nama sebenarnya Mohd Alfeeq Haiqal ini, dia juga kini masih bereksperimen dengan karya seni yang dihasilkannya.

“Sebelum ini, saya pernah hadir dengan lagu berentak R&B berjudul Aku Mencari. Sekarang, saya berikan satu karya yang jauh berbeza dengan single pertama.

“Sejujurnya, saya bereksperimen dengan karya muzik. Doa saya, semoga karya saya diterima dengan baik pencinta muzik tanah air,” katanya.

Apa yang pasti, dia yang juga jurulatih kecergasan itu akan terus mengorak langkah dengan bersemangat dan mengejar cita-citanya dalam bidang muzik.

Disiarkan pada: October 1, 2018 @ 12:28pm
d