rap

Dah mula hilang privasi

Oleh Rudy Imran Shamsudin

Selepas seminggu bergelar juara program realiti Big Stage, Sarah Suhairi mengakui kehidupannya kini mula berubah.

Menurut gadis berusia 18 tahun ini, paling ketara dia hanya dapat merasai privasi apabila berada di rumah.

Namun, dia gembira dengan perubahan itu.

Sarah berkata, apabila dia memilih untuk bergelar penyanyi bermakna antara harga yang perlu dibayar adalah kehilangan privasi.

Namun, melihat dari sudut positif itu jauh lebih baik berbanding situasi dia tidak dikenali ketika hendak memulakan kerjaya sebagai penyanyi.

“Saya akui sebelum ini agak susah saya hendak bergerak mempromosikan single pertama Pedih kerana orang tidak kenal siapa saya. Namun, selepas menyertai Big Stage dan menjayakan konsert setiap minggu semakin ramai yang kenal.

“Saya melakukan ini semata-mata untuk mengukuhkan kerjaya seni saya sebagai penyanyi. Andai karya didendangkan tidak didengari tidak berguna juga.

“Sebenarnya apa juga perkara yang kita lakukan ada baik dan buruknya. Cuma sebagai manusia kita harus pandai menilai dan melihatnya dalam sudut lebih baik,” katanya.

Menurut Sarah, dia tidak kisah melayan peminat yang datang kepadanya kerana itu antara tugas yang perlu dilakukan selain daripada menyanyi.

“Cuma seperkara lagi yang saya harus berikan penekanan adalah menjaga segala gerak dan tingkah laku. Saya sedar sebagai penyanyi dikenali, banyak mata yang memandang dan apa yang dilakukan akan diperkatakan sama ada yang baik atau buruk,” katanya.

Sebaik diumumkan pemenang, banyak juga komen diberikan netizen terutama yang mempertikaikan kemenangannya dalam program realiti itu.

“Saya tidak peduli dengan kutukan dan pertikaian ini kerana saya sudah berusaha untuk berada di tempat di mana saya berada sekarang. Saya bersyukur kerana Allah nampak akan usaha yang saya lakukan sehingga memberikan rezeki kepada saya sebesar ini

“Begitupun komen positif diberikan membabitkan kerjaya nyanyian saya ambil serius terutama apabila ramai yang menyebut mengenai teknik pengawalan nafas ketika menyanyi,” katanya.

Bercerita mengenai perkara itu, kata gadis berasal dari Rawang, Selangor ini, masalah yang diutarakan itu juga pernah dibangkitkan juri tetap Big Stage dan guru vokal juga penyanyi Ernie Zakri.

“Saya sedar perkara itu sangat penting kerana disebabkan pengawalan nafas kurang baik menyebabkan sebutan lirik tidak jelas. Dengan usia sekarang sebenarnya banyak lagi perkara membabitkan nyanyian yang saya perlu belajar.

“Saya ada membincangkan perkara ini dengan bapa dan juga syarikat rakaman. Saya mempunyai keinginan untuk mengikuti kelas vokal. Kiranya saya sambung daripada apa yang pernah diajar Ernie sebelum ini.

“Cuma dengan siapa saya akan belajar belum lagi diputuskan. Namun, saya akan cuba memperbaiki segala kelemahan yang dibangkitkan sepanjang pembabitan dalam Big Stage,” katanya.

Menyentuh mengenai single terbarunya berjudul Nyawa dan Raga yang kini trending di YouTube dengan jumlah tontonan hampir sejuta, Sarah berkata, dia benar-benar terkejut dan gembira.

“Ini kerana jika hendak diikutkan lagu itu belum lagi dilancarkan. Apa yang dimuat naik di YouTube itu adalah sedutan persembahan di konsert akhir Big Stage.

“Jadi, apabila ia menjadi trending bermakna ia menunjukkan maklum balas baik daripada peminat yang mereka menggemari lagu saya,” katanya.

Disiarkan pada: October 1, 2018 @ 3:00pm
d