rap

Enam bulan, 40 juta

Oleh Sudirman Mohd Tahir

MUZIK Video lagu Di Matamu nyanyian Sufian Suhaimi yang ditonton lebih 40 juta dalam tempoh enam bulan di saluran YouTube melebur rekod dipegang penyanyi Aiman Tino menerusi lagu Ku Rela Dibenci yang meraih tontonan 47 juta sepanjang dua tahun.

Sufian, 26, berkata, selain melodi dan lirik lagu itu, faktor lain yang membantu kejayaan muzik video itu adalah cerita di sebalik lagu berkenaan.

"Diakui lagu ini paling berjaya jika mahu dibandingkan dengan single saya yang lain. Saya sudah merasai perkara ini sejak hari pertama ia dilancarkan.

"Malah, dalam tempoh kurang 24 jam jumlah tontonan mencecah 1.2 juta selain 'trending' nombor satu selama beberapa minggu.

"Dari situ, saya berasakan ia memiliki kejayaan sendiri. Apa yang pasti, cerita di sebalik lagu ini juga menjadi nilai tambah untuk orang menonton," katanya kepada Harian Metro.

Sufian berkata, bertitik tolak daripada kejayaan lagu ciptaan Sirkhan dan Rinkarnaen itu, dia kini melebarkan sayap ke Indonesia dengan merakamkan Di Matamu 2.0 versi Indonesia.

"Lagu ini diberi nafas baru dengan gubahan muzik berbeza dan lirik ditukar mengikut kesesuaian bahasa Indonesia.

"Bagi versi Indonesia ini, saya berduet dengan band girl, Shima yang dianggotai empat orang. Insya-Allah, lagu ini dilancarkan hujung bulan atau awal bulan depan.

"Serentak dengan itu, turut dilancarkan muzik video dan penjualan di semua platform digital," katanya.

Disiarkan pada: October 1, 2018 @ 3:51pm
d